KUALA LUMPUR – Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) meminta kerajaan untuk membuka semua sektor ekonomi dengan segera berdasarkan kadar vaksinasi syarikat dengan pematuhan ketat terhadap prosedur operasi standard (SOP) dan pekerja menajalani ujian saringan Covid-19 secara berkala.
FMM berpendapat jika ia tidak dilakukan lebih banyak perniagaan akan gulung tikar dan memberi kesan buruk terhadap ekonomi serta risiko mengalami kemelesetan dengan tempoh pemulihan akan mengambil masa yang lama.
“Pihak industri sangat bimbang dengan penutupan operasi sektor bukan penting yang berpanjangan ini yang berlangsung hampir tiga bulan.
“Walaupun FMM mengambil maklum dan menyambut baik kelonggaran diberikan kepada individu yang sudah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19, kami mahu kelonggaran yang sama terhadap sektor peniagaan yang sangat memerlukannya bagi memastikan kelangsungan perniagaan berikutan penutupan perniagaan yang berlarutan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini pada Selasa.