Terkini

Perkenalkan peraturan kawal selia industri vape

KUALA LUMPUR – Perlantikan Perdana Menteri ke-9, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Kabinet memberi harapan baharu kepada rakyat Malaysia untuk menyaksikan satu kepimpinan yang mampu membaik pulih keadaan negara dari pelbagai sudut.

Mewakili suara industri vape tanah air, Malaysian Vape Industry Advocacy (MVIA) dan Dewan Perniagaan Vape Malaysia (DPVM) menyambut baik pelantikan ini dan berharap kepimpinan baru ini lebih cakna kepada komuniti vape yang telah sekian lama dipinggirkan. 

Presiden Malaysian Vape Industry Advocacy (MVIA), Rizani Zakaria

Menurut Presiden Malaysian Vape Industry Advocacy (MVIA), Rizani Zakaria, perbincangan untuk melaksanakan peraturan untuk kawal selia industri vape telah lama dibincangkan namun sehingga kini masih gagal dilaksanakan. Dengan kepimpinan baru ini, beliau berpendapat sudah tiba masanya kerajaan membuat kata putus.

“Perubahan tampuk pimpinan negara yang sering bertukar menyebabkan perbincangan mengenai pelaksanaan peraturan kawal selia ini tiada penghujung. Akibatnya, hala tuju industri ini terumbang ambing tanpa kepastian.”

Pada Belanjawan 2021, Kerajaan telah mengumumkan cukai eksais dikenakan ke atas peranti vape dan e-cecair vape tanpa nikotin. Pemain industri berharap agar kerajaan juga melaksanakan peraturan ke atas produk vape and perkenalkan cukai eksais terhadap e-cecair vape bernikotin.

“Kami berharap Kerajaan akan mempertimbangkan cadangan industri untuk memperkenalkan peraturan untuk industri vape dan juga perkenalkan cukai eksais terhadap e-cecair bernikotin dalam Belanjawan 2022 sebagai langkah seterusnya susulan langkah yang telah diambil tahun lepas.”

Kata Rizani, kerajaan harus memperkenalkan peraturan khusus yang mengawal selia industri ini dengan segera agar ia dapat berkembang dalam suasana ekosistem yang terkawal dengan peraturan serta memberi manfaat kepada semua pihak.

“Kami bersedia untuk bersama-sama dengan kerajaan bagi berbincang dan memberi pandangan untuk kawal selia berkaitan industri ini bagi merealisasikan harapan ke arah meregulasikan industri vape ini,” katanya.

Ketua Penerangan Perniagaan Vape Malaysia (DPVM), Ashraf Rozali

Dalam pada itu, Ketua Penerangan Perniagaan Vape Malaysia (DPVM), Ashraf Rozali menyambut baik perlantikan YB Khairy Jamaludin sebagai Menteri Kesihatan dan berpendapat beliau adalah individu yang berbuat keputusan berpandukan fakta dan bukti.  

“Pada tahun 2015, YB Khairy Jamaludin yang ketika itu Menteri Belia dan Sukan menyaran kerajaan melaksanakan undang-undang untuk mengawal selia industri vape dengan segera dan tidak bersetuju dengan cadangan untuk melarang penggunaan vape memandangkan rokok tembakau dibenarkan dijual dengan peraturan. Malah, berita pada masa itu turut memetik beliau berkata bahawa vape mempunyai bukti risiko kesihatan yang lebih rendah berbanding rokok berdasarkan bukti yang ditunjukkan di negara Eropah.”

“Kini beliau telah memegang jawatan sebagai Menteri Kesihatan dan kami amat berharap YB Khairy Jamaludin boleh membantu kami mempercepatkan perlaksanaan peraturan kawal selia berdasarkan fakta dan bukti yang telah ditunjukkan di negara Eropah agar pemain industri dapat menjalankan perniagaan dalam ekosistem yang terkawal dengan peraturan,” katanya. 

Dalam pada itu, Rizani turut menambah, dengan adanya satu ekosistem yang terkawal dengan peraturan, industri vape dapat berkembang dalam pasaran domestik dan global seterusnya menarik pelabur asing ke Malaysia.

“Industri vape tempatan pada masa ini dianggarkan bernilai RM2.27 bilion yang membabitkan 3,300 perniagaan dengan lebih daripada 15,000 pekerja dan terdapat lebih daripada 1 juta pengguna vape di Malaysia.

“Sekiranya industri vape tempatan disuntik dengan peraturan, kami percaya ia dapat berkembang lebih maju menyaingi industri-industri utama lain. 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: