Baling – Kawasan yang terjejas akibat bencana banjir di Baling perlu segera diisytiharkan sebagai kawasan Darurat Bencana, tegas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Menurutnya, pengisytiharan itu amat penting bagi mempercepatkan operasi bantuan agensi negeri dan persekutuan berdasarkan bajet sedia ada di agensi masing-masing.
Beliau berkata, seboleh-bolehnya kawasan yang kritikal di beberapa kampung terbabit diisytiharkan sebagai kawasan Darurat Bencana Tahap I atau II selari dengan situasi dan bidang kuasa yang ada.
“Saya telah merujuk Pengarah Majlis Keselamatan Negeri (MKN) Kedah untuk menentu-sahkan bidang kuasa mengisytiharkan Darurat Bencana berdasarkan Tahap I, II atau III berdasarkan Arahan MKN20.
“Menurut MKN20, kuasa mengisytiharkan Darurat Bencana (tahap III) terletak di tangan Perdana Menteri, atas nasihat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP). Bagi Darurat Bencana Tahap I, ia boleh diisytiharkan oleh Pegawai Daerah selaku Pengarah JPBD.
“Pengisytiharan Darurat Bencana amat penting bagi mempercepatkan operasi bantuan agensi negeri dan persekutuan berdasarkan bajet sedia ada di agensi masing-masing.
“Perbelanjaan atas sebab kecemasan akan memudahkan agensi segerakan semua langkah yang perlu untuk memperbaiki infrastruktur yang rosak dan memulihkan keperluan dan kemudahan asas penduduk terlibat,” katanya di Facebook, hari ini.
Muhammad Sanusi berkata, beliau juga telah menghubungi beberapa Menteri dan Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian untuk memaklumkan situasi semasa di lokasi.
“Pagi ini, satu mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Kedah (JPBN) akan diadakan di Pejabat Daerah Baling. Setiausaha Kerajaan Negeri selalu Pengarah JPBN akan mempengerusikan mesyuarat tersebut.
“Pada jam 10 pagi, Ketua Polis Daerah selaku Pengarah Operasi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) akan memberikan taklimat awal operasi mencari dan menyelamat (SAR) dan situasi semasa kepada media,” katanya.
Menurutnya, beliau dimaklumkan pihak bomba dan penyelamat akan turut menggunakan khidmat helikopter untuk meninjau keadaan daripada udara untuk memberi gambaran lebih jelas kesan dan punca-punca bencana.
“Pengarah Jabatan Parit dan Saliran (JPS) yang turut berada di lokasi malam ini memaklumkan bahawa hujan lebat yang mencurah di Daerah Baling petang semalam menyebabkan air sungai melimpah.
“Taburan hujan yang disukat di semua pusat cerapan sepanjang sungai menunjukkan kapasiti hujan yang banyak,” katanya.
Sementara itu, beliau turut berjanji akan menyiasat dakwaan penduduk yang mengesyaki beberapa tandak tadahan air masyarakat di Gunung Inas telah pecah.
“Agensi terbabit dan Jabatan Perhutanan akan menyiasat untuk menentukan kesahihannya. Buat masa ini ia belum dapat disahkan.
“Saya doakan semua mangsa dapat bersabar dengan ujian ini. Semua agensi dan sahabat handai akan terus membantu. Kita semua adalah bersaudara,” katanya.