Kuala Lumpur – Festival beli belah terbesar tanah air, StarVendors kembali memeriahkan sambutan Syawal yang bakal disambut tidak lama lagi menerusi penganjuran StarVendors Mega Raya Fest 2023.
Kali ini StarVendors Mega Raya Fest, dimeriahkan dengan barisan penaja dan vendor hebat yang pastinya menggamatkan lagi acara hebat tahunan ini.

Menariknya, program yang bakal berlangsung pada 13 hingga 17 April ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bukan lagi 75 jam seperti tahun lalu, tapi berlangsung selama 100 jam tanpa henti sekaligus tercatat dalam Malaysia Book of Records (MBOR).
Selain itu, Starvendors turut menganjurkan Minggu Usahawan Negara bersama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi di Malaysian Grand Baazar, Lalaport, diikuti Starvendors Kedah Raya Fest di Alor Setar.

Pengarah Urusan dan Pengasas StarVendors Event Sdn Bhd juga artis versatil popular, Datuk Ifa Raziah berkata, matlamat penganjuran kali ini tetap sama seperti sebelumnya iaitu bagi memberi platform kepada usahawan tempatan untuk berniaga dan menjadi pilihan nombor satu bagi orang ramai yang ingin membuat persiapan Aidilfitri.
Ifa berkata, khabar gembira juga apabila tahun ini StarVendors akan menjelajah di beberapa lokasi dalam negara.
“Tujuan utama StarVendors ini adalah untuk memberi platform kepada usahawan berniaga. Tidak kira bangsa apa sekalipun yang mahu berniaga bersama kita di bulan Ramadan ini.
“Seterusnya ikuti kita buat ‘road tour’ hingga hujung tahun ini. Itulah tujuannya, kita akan bergerak ke beberapa negeri lain seperti Kedah, Pahang, Sabah dan Sarawak dan berakhir di Ipoh, Perak,” katanya.
Berkongsi lanjut, Ifa berkata, StarVendors 100 jam tanpa henti itu memberi peluang pada orang ramai untuk membeli belah tidak kira waktu sehingga tengah malam 17 April nanti.
“Kita akan memecah rekod buat kedua kalinya di Malaysia iaitu sebelum ini selama 75 jam dan tahun ini kita adalah penganjur pertama yang melakukan jualan selama 100 jam.

Tidak hanya memberi peluang pada usahawan tempatan, StarVendors Mega Raya Fest 2023 bakal menyaksikan pembabitan 100 artis terkenal tanah air yang turut membuka ‘booth’ dan menjual rangkaian produk mereka sendiri. Antaranya, Dato Sri Siti Norhaliza, Dato AC Mizal, Dato Sri Vida, Dato Aliff Syukri, Hairul Azreen, Hanis Zalikha, Fazura, Fattah Amin, Shahiezy Sam, Syatila Melvin, Dato Fizz Fairuz, Dato Jovian Mandagie, Fad dan Acey Bocey, Sherry Alhadad, Ruhainees, Nadia Brian, Ramlah Ram, Noraniza Idris, Lan Solo dan ramai lagi.

“Selain artis, usahawan terkenal juga turut bersama kita. Kita ada Serifa Beauty, Secret Desire, Origina, SugarBomb, Dr. Kayu, Semblance, Bulan Bintang, Leyna, Qalbu, Behati, Fareha dan pelbagai lagi. Juga tidak ketinggalan rakan media iaitu SukeTV” jelasnya lagi.
Beliau turut menambah, 100 orang pengunjung terawal berpeluang “Sakau” duit raya dan goodies bag bernilai RM111,111. Festival ini turut terbuka kepada pengunjung dari Brunei, Singapura dan Indonesia untuk membeli-belah disini.

Penaja pengangkutan rasmi festival ini, iaitu Mitsubishi Motors Malaysia dan Lofty Ambition Sdn Bhd turut menyediakan 2 buah kereta eksklusif untuk membuat penjelajahan selama setahun. Tidak dilupakan sebuah kereta Xpander sebagai cabutan bertuah ‘Shop and Win’ tahun ini dengan setiap pembelian minima RM50 dalam satu resit.
Selain itu, TikTok Shop juga akan menyediakan platform “Live” untuk usahawan mempromosikan acara ini di media sosial.

Ifa Raziah juga turut berbesar hati mengumumkan Setel sebagai rakan kongsi premier yang akan melancarkan pengalaman pembayaran tanpa tunai kepada para pengunjung.
“Saya sarankan semua untuk melayari Setel yang mempunyai pelbagai ciri aplikasi merentasi sepanjang perjalanan seharian termasuk pengisian minyak danpengecasan EV di stesen, pembayaran parkir dan insurans dan bayaran tanpa tunai di kedai-kedai dan secara online. Dengan penglibatan Setel bersama kami di Starvendors KLCC Mega Raya Fest 2023, saya pasti Setel Raya Kita!” ucapnya dalam majlis sidang media di KLCC.