Kuala Lumpur – Program Bubur Lambuk Adabi bersama Zoo Negara diserikan dengan penyerahan tajaan makanan kucing daripada Adabi Consumer Industries Sdn. Bhd.
Pengurus pemasaran Adabi Consumer, Azizie Amad berkata, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) kali ini membawa kelainan dengan turut memberikan sumbangan makanan kucing Power Cat di Zoo Negara.
“Program dua dalam satu ini bermakna kita buat program bubur lambuk dan pada masa sama kita buat program CSR juga.
“Program memasak bubur lambuk adalah program daripada kami yang diadakan 30 hari sepanjang bulan Ramadan, bukan sahaja di Zoo Negara tetapi seluruh Malaysia,” katanya kepada Malaysianews TV semalam.

Menurutnya, Adabi telah memasuki tahun ke-sembilan bersama dalam program bubur lambuk dan tahun kelima penajaan makanan kucing setiap bulan sepanjang tahun.
Sementara itu, Azizie berkata, kira-kira 1,500 pek bubur lambuk disediakan oleh kakitangan Adabi menggunakan bahan-bahan rempah yang dikeluarkan syarikat itu yang menjadikan bubur lambuk lebih enak.
“Bubur lambuk ayam dan daging itu akan diagihkan kepada rumah anak yatim, pengunjung dan staff Zoo Negara,” ujarnya.

Program ini turut dimeriahkan dengan selebriti jemputan, Ayu Damit dan Fiza Elite yang turut bersama-sama membantu masak bubur lambuk.