download

Kuala Lumpur – Penunggang motosikal melawan arus sehingga menyebabkan Ahmad Fadzil Omar Azzadin, penunggang motosikal berkuasa tinggi, Ducati Panigale maut terjatuh dari jejambat lebuh raya dalam nahas Rabu lalu, tampil membuat laporan polis semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail, berkata lelaki berusia 41 tahun dari Kajang, Selangor yang berniaga makanan itu juga sudah dirakam keterangan ketika membuat laporan di Balai Polis Trafik Kajang.

“Siasatan mendapati suspek dalam perjalanan dari Ampang untuk pulang ke rumah di Kajang tapi telah tersesat dan buat keputusan untuk memasuki jejambat Lebuhraya SUKE dengan melawan arus sehingga kemalangan berlaku.

“Akibat pergeseran dengan motosikal mangsa, suspek juga terjatuh dari motosikalnya dan selepas kemalangan terbabit suspek terus pulang ke rumah.

“Suspek hanya mengetahui kes berlaku setelah menonton berita di televisyen dan hebahan di media sosial,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu.

Mohd Azam berkata, akibat kemalangan itu, suspek turut mengalami pelbagai kecederaan antaranya patah bahu kanan, patah jari kelingking selain luka pada bahu kiri dan kaki kanan.

“Sehubungan itu, kita turut merampas motosikal Yamaha milik suspek dan beberapa barang kes lain untuk siasatan.

“Buat masa ini suspek tidak ditahan kerana keadaan kecederaan yang dialaminya agak parah,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini polis sudah merakam percakapan enam saksi termasuk suspek dan siasatan berkait kes ini masih diteruskan

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading