TB_ZAHID HAMIDI_BERNAMA

Bangi – Sorakan ribuan peminat bola sepak bergema di Bangi Square 2 apabila lebih 7,000 pengunjung membanjiri Program Final FIFA World Cup 2026 Viewing Party & Semarak Subuh bersama Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, yang berlangsung dari tengah malam hingga selesai Solat Subuh, awal pagi tadi.

Program itu menghimpunkan peminat bola sepak, golongan belia, keluarga serta masyarakat setempat untuk bersama-sama menyaksikan perlawanan akhir FIFA World Cup 2026 menerusi tayangan skrin gergasi dalam suasana penuh semangat, harmoni dan kebersamaan.

Kehadiran Ahmad Zahid turut menambah kemeriahan apabila beliau meluangkan masa beramah mesra dan menyantuni pengunjung sebelum bersama-sama menyaksikan aksi final yang dinanti-nantikan.

Pelbagai aktiviti menarik turut mengisi program, antaranya sesi Borak Bola yang menampilkan legenda bola sepak negara Datuk Zainal Abidin Hassan bersama bekas pemain kebangsaan Farizal Marlias dan Zaquan Adha. Ketiga-tiga mereka berkongsi pandangan serta pengalaman mengenai aksi kemuncak kejohanan bola sepak paling berprestij dunia itu.

Suasana terus dihangatkan dengan persembahan artis terkenal seperti Dato’ Hattan, Marsha Londoh dan Hazama yang menghiburkan ribuan pengunjung sepanjang malam.

Kemuncak kemeriahan berlaku apabila seorang pengunjung bertuah memenangi sebuah skuter elektrik bernilai lebih RM6,000 menerusi cabutan bertuah, sekali gus mengundang sorakan gemuruh daripada orang ramai.

Sepanjang program, pengunjung turut menikmati pelbagai pilihan makanan dan minuman, termasuk 1,500 cawan Riachiamo Coffee yang diedarkan kepada orang ramai sambil menyaksikan aksi mendebarkan perlawanan akhir dalam suasana yang selesa dan meriah.

Sebaik wisel penamat dibunyikan, program diteruskan dengan pengisian Semarak Subuh bersama Timbalan Perdana Menteri. Ribuan peserta kemudian berarak ke Surau Al-Hamidiah, Kajang untuk menunaikan Solat Subuh secara berjemaah, menjadikan program tersebut unik kerana berjaya menggabungkan elemen kesukanan, perpaduan masyarakat dan penghayatan nilai kerohanian.

Penganjuran julung kali program itu bukan sahaja menjadi platform untuk rakyat menyaksikan perlawanan akhir Piala Dunia secara bersama, malah mengukuhkan semangat perpaduan, silaturahim dan kebersamaan dalam kalangan masyarakat pelbagai lapisan.

Sambutan luar biasa daripada lebih 7,000 pengunjung membuktikan bahawa sukan mampu menjadi medium yang menyatukan rakyat, manakala pengisian kerohanian melengkapkan sebuah malam yang penuh makna dan meninggalkan kenangan istimewa kepada semua yang hadir.

Dalam aksi final yang berlangsung di Stadium New York New Jersey pada Ahad, Sepanyol muncul juara FIFA World Cup 2026 selepas menewaskan juara bertahan Argentina 1-0 menerusi masa tambahan.

Gol tunggal Ferran Torres pada minit ke-106 menghadiahkan kejuaraan dunia kedua buat La Roja selepas kejayaan pertama mereka pada edisi 2010 di Afrika Selatan. Kemenangan itu turut memadam impian Argentina mempertahankan kejuaraan serta menafikan hasrat Lionel Messi untuk menamatkan kempen Piala Dunia dengan satu lagi trofi dunia.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading