CM_Photogrid_1690714519005

Kuala Lumpur – Teater purbawara Batu Belah yang akan dipentaskan oleh Teater Hidayah di di Dewan Tunku Abdul Rahman mengangkat kisah lagenda Batu Belah Batu Bertangkup namun dari sisi kehidupan dua beradik yang kematian ibunya di Desa Kerayong.

Pementasan ini mengupas kehidupan mereka dibela oleh seorang nenek dari kecil hingga dewasa dan dibawa tuah seekor ayam jantan sehinggakan dapat bertakhta sebagai raja muda seterusnya berkahwin dengan seorang puteri jelita.

Batu Belah bakal dipentaskan pada 11 sehingga 13 Ogos 2023 ini oleh kelab teater Hidayah. Menampilkan pelakon popular Datuk Jalaluddin Hassan, Zack Kool, Lan Zailan dan pempegaruh terkenal Pangiran Aduka serta ramai lagi.

Skrip yang ditulis oleh Kamarul AR berkait dengan situasi semasa walau berlatarkan kisah klasik masyarakat.

“Walaupun memilih kisah klasik sebagai latar utama, namun saya hanya mengambil ‘batu belah; sebagai tajuk utama kerana ia sentiasa terbuka untuk diperbincangkan. Kisah ini tidak tertutup atau tertangkup kerana jika tidak, ia seolah-olah ada penutup.

“Saya mahu audien berfikir hubungkait antara teater ini dengan kehidupan. Malah, setiap lontaran dialog punya makna tersendiri dan saya harap mereka yang menontonnya dapat memahami maksud tersirat yang disampaikan,” katanya sewaktu sidang media Teater Purbawara ‘Batu Belah’ di Saloma Bistro baru-baru ini.

Pengarah pentasnya, Yusry Kamarulzaman menambah, walaupun pada masa sekarang teater yang berkisar purbawara sebegini kurang mendapat tempat namun yakin masyarakat masih dahagakan kisah lagenda sebagai wadah dan hiburan yang mampu memberi mesej pengajaran buat penonton.

“Cabaran teater purbawara atau bangsawan seperti ini perlu diangkat dan dihidangkan kepada masyarakat untuk menjamin hiburan rakyat ini tidak ditelan zaman.

“Dalam teater ini kami juga menonjolkan seni silat yang pasti ramai meminatinya dan ini sudah tentu menjadi lonjakan dengan promosi dari pempengaruh silat terkenal, Pengiran Aduka yang turut belakon” ujarnya.

Dalam teater ini juga membawa mesej dunia yang dipinjamkan buat sementara, berleluasa sifat dengki dan tamak dan inilah yang merosakkan kestabilan sesebuah negeri. Bagaimana mungkin, dapat diyakinkan segala yang buruk ada nohtahnya. Lantas, ‘Batu Belah’ mengajak semua kanak-kanak, para remaja, pemimpin keluarga dan para pemimpin mengambil pengajaran melalui kisah duka dan indah ini.

Pihak produksi pentas mengajak orang ramai menonton pementasan teater ini beramai-ramai. Tiket masuk hanya RM25 sahaja dan boleh dibeli terus atau tempahan melalui 0125550170 (Ika Angah).

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading