Kuala Lumpur – Selepas gelagatnya yang gemar ‘melepak’ di kepungan tikus gergasi Capybara di Zoo Negara tular di media sosial, seekor kucing berbulu jingga yang digelar ‘Oyen’ secara rasminya menjadi sebahagian daripada kawanan herbivor itu.
Nama Oyen kini dipaparkan di papan tanda yang terletak di hadapan kepungan Capybara, sekali gus menjadi tarikan bagi pengunjung.
Zoo Negara memuat naik sebuah video ke TikTok rasmi mereka, menunjukkan papan tanda tertulis ‘Capybara & Oyen’ itu yang sudah siap dipasang.
Orang ramai menyambut baik langkah berkenaan dan menyifatkan ia satu perkembangan positif bagi menunjukkan bagaimana dua spesies haiwan boleh berkawan baik.
Difahamkan, kucing dan tikus gergasi itu telah menjadi rakan sekandang sejak dua atau tiga tahun lalu.
‘Persahabatan’ luar biasa itu membawa tuah dan membantu kebangkitan semula Zoo Negara, yang mengalami masalah kekurangan pendapatan susulan pandemik COVID-19 yang lalu.
Menurut kakitangan zoo, mereka tidak pasti bila Oyen masuk ke kepungan capybara, namun mengakui mula melihat kelibat si comel itu ketika zoo ditutup semasa perintah kawalan pergerakan akibat COVID-19.
Pihak zoo kebiasaannya tidak menggalakkan haiwan berinteraksi dengan haiwan liar kerana ia boleh membahayakan mereka.
Setakat ini, kedua-dua spesies sihat serta tidak menunjukkan sebarang tanda dalam tekanan, dan keadaan mereka juga dipantau bagi memastikan mereka sihat.
Naib Presiden Zoo Negara Rosly@Rahmat Ahmat Lana berkata Oyen yang kini menjadi ‘Star of Zoo Negara’ mempunyai populariti luar biasa susulan keunikan persahabatannya dengan capybara.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pemasangan papan tanda rasmi Oyen di hadapan kepungan tikus gergasi capybara di zoo berkenaan hari ini sempena Hari Kucing Sedunia yang disambut pada 8 Ogos setiap tahun.
Menurut Rosly papan tanda baharu itu menggantikan papan tanda sebelum ini yang rosak akibat ditendang pengunjung tanpa sengaja.
Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya berhasrat untuk mencarikan pasangan buat Oyen agar kucing itu mempunyai anak. Persahabatan dua haiwan berlainan spesies itu menjadi tarikan baharu Zoo Negara selepas video memaparkan Oyen yang merupakan kucing buangan, tidur dan memeluk capybara tular menerusi media sosial.
