cee80ee5-0b11-4941-9662-e006eac2ec3e

Kuala Lumpur – Sehingga kini, kumpulan Caliph Buskers masih belum menerima bayaran penuh daripada penganjur ‘show’ yang disertai mereka pada 9 dan 10 Disember tahun lalu di Pulau Pinang.

Berkongsi mengenai insiden tersebut, Azmi memberitahu mereka hanya mempunyai sedikit duit poket untuk makan tengah hari pada waktu itu kerana menyangka akan menerima bayaran sepenuhnya.

“Jujurnya la, waktu itu masing-masing tak bawa duit. Sebab memang dijanjikan pada hari kejadian akan dapat duit. Jadi, kami fikir tak apa dekat sana dah dapat duit yang dia bagi untuk makan.

“Apa yang berlaku benar-benar mengajar kami untuk tidak mudah kasihan pada orang dan akhirnya kami menjadi mangsa” katanya.

Beliau turut menceritakan rentetan insiden itu apabila pada mulanya, penganjur datang berjumpanya dengan merayu dan menangis memohon Caliph Buskers membuat persembahan pada acara tersebut.

“Jangan percaya pada air mata, sebelum ini kami cepat percaya dan pada waktu itu juga memang kami perlukan show untuk memandangkan baru habis PKP dan kewangan juga mendesak, tetapi tak sangka ditipu” tambahnya.

Lebih membuatkan mereka kecewa apabila sepanjang tempoh hampir 10 bulan, bayaran diterima hanya 20 peratus.

“Kalau ikutkan memang tak halalkan sebab kami ke sana hanya ada duit cukup-cukup untuk makan.

“Sampai sekarang bayaran masih belum selesai, tetapi kami sudah dapat sebanyak 20 peratus untuk bayar kepada kru dan kos pengangkutan. Jadi, masih berbaki RM8,000 yang belum kami dapat,” jelasnya lagi.

Azmi turut menambah, pihaknya telah beberapa kali cuba menghubungi penganjur tersebut namun panggilan dan mesej sudah tidak berjawab.

Difahamkan penganjur berdepan kerugian selepas karnival yang sepatutnya berlangsung selama 10 hari itu dipendekkan kepada tiga hari akibat beberapa masalah seperti cuaca.

Katanya, bukan mereka sahaja yang tidak menerima bayaran, malah beberapa individu lain yang terbabit dengan karnival berdepan nasib sama.

Caliph Buskers ditemui ketika pelancaran lagu dan muzik video terbaru berjudul Inspirasi di Ficus Cafe disini hari ini.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading