Cyberjaya – Bagi memperkasa ekonomi dalam sektor pembuatan, Leave a Nest Group (LVNS) mengumumkan pelancaran Center of Garage Malaysia (CoG) yang bakal memulakan operasi secara rasmi pada 1 November ini.
Pengarah Urusan LVNS Malaysia, Abdul Hakim Sahidi berkata, CoG Malaysia adalah sebagai penanda aras menghubungkan pemain industri global kepada negara bagi meningkatkan ekonomi berkaitan menjelang 2024.
Jelasnya lagi, CoG ialah ekosistem inkubasi unik di mana syarikat permulaan teknologi mendalam, kilang Super Jepun dan syarikat besar berkumpul.

“Kami menyediakan semua sokongan yang mungkin untuk mempercepatkan inovasi syarikat pemula teknologi mendalam di seluruh dunia.
“Hubungan baik berlaku antara pihak terlibat dan saya yakin ia mampu menyumbang dalam kenaikan ekonomi, peningkatan pengetahuan dan menyelesaikan masalah berkaitan pembuatan di dunia” jelasnya dalam sidang media selepas majlis pelancaran disini hari ini.
Jelasnya lagi, dengan membawa masuk teknologi Jepun dan menggabungkannya dalam industri pembuatan dan pengetahuan bagi mana-mana institusi pendidikan dan syarikat terlibat, mampu melaksanakan strategi global untuk menyelesaikan isu di Asia.
LVNS juga turut bekerjasama dengan Cyberview bagi memperkasakan ekosistem pembuatan, inovasi dan teknologi di Malaysia.
Dengan sokongan Cyberview dan syarikat tempatan termasuk syarikat multinasional daripada pelbagai sektor dan agensi kerajaan, LVNS menyasarkan untuk menjana RM100 juta dari aspek impak ekonomi menerusi pelbagai program pembangunan.

“Dengan Cyberjaya mendahului sebagai pilihan utama untuk pelaburan pusat data dan pembuatan, industri di Malaysia bersedia untuk masa depan yang cerah.
“Selain infrastruktur yang kukuh, ekosistem inovasi yang berkembang maju akan menjadi pemboleh utama pertumbuhan dalam industri yang berkembang pesat ini,” tambahnya lagi.
Ketua Pegawai Eksekutif Cyberview Sdn Bhd, Kamarul Arifin Abdul Samad berkata, Selain mempertingkatkan infrastruktur Cyberjaya, kerjasama kami dengan LVNS juga akan memperkukuh budaya inovasi yang dipupuk di bandar ini.
“Perkongsian ini bukan sahaja akan memberi manfaat kepada komuniti permulaan tetapi juga akan menyumbang kepada pertumbuhan dan pembangunan keseluruhan ekosistem teknologi,inovasi dan pembuatan.
“Berpandukan pelan induk Cyberjaya, kami komited untuk meningkatkan lagi infrastruktur bandar untuk memenuhi permintaan pemain indusri kearah peningkatan yang lebih luas,” katanya.
Ketika ditemui, Ketua Pegawai Eksekutif LVNS, Dr Maru Yukihiro menyatakan Malaysia adalah negara penghubung terbaik dengan beberapa negara Asean seperti Afrika bagi membawa masuk pengetahuan dan teknologi pembuatan.
“Kami bekerjasama dengan Afrika bagi melebarkan peluasan teknologi yang akan dibawa masuk ke negara ini dengan hubungan baik bersama Malaysia.
“Dengan peluasan ini, ekonomi mampu ditingkatkan bukan sahaja di Afrika malah bagi seluruh negara-negara Asean” katanya.
