Subang Jaya – Program Sekolah Amanah oleh Yayasan AMIR telah membuktikan kemenjadian murid-murid yang lebih berkepimpinan, kreatif serta berkeyakinan tinggi.
Program ini satu program transformasi sekolah yang digerakkan oleh Yayasan AMIR dengan mengaplikasikan amalan terbaik dalam pengurusan dan kepimpinan serta pedagogi dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) dengan menggunakan pendekatan ‘whole school improvement’ sebagai strategi perubahan pendidikan.

Nur Afiq bin Razali, 25, bekas pelajar Sekolah Kebangsaan Felda Semenchu, Kota Tinggi, Johor berkongsi kisahnya yang bermula dari kelas peralihan kerana masalah pembelajaran berjaya mengubah dirinya dengan bantuan para guru dan juga program transformasi tersebut.
“Saya tidak tahu membaca pada ketika itu walaupun berada dalam darjah 3, saya dikategorikan sebagai pelajar lemah dan juga tidak berani kehadapan atau bercampur rakan-rakan.
“Sejak diperkenalkan pelbagai modul bimbingan, saya semakin yakin dan berani bercakap di hadapan khalyak ramai kerana program ini mengajar skil dan kepimpinan diri sehingga saya mampu mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan” katanya.
Nur Afiq kini bertugas sebagai Ketua Pengarah Eksekutif bagi Studio Goldenring miliknya di Johor Bahru.
Bagi Dayang Nur Syazwanie bt Abang Redzuan , 22, dari Sekolah Menengah Sains Kuching, Sarawak yang kini ditempatkan di Pejabat Perdana Menteri sebagai Felo Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim sejak Ogos 2023 berharap Program Sekolah Amanah diteruskan dan diperluas ke semua sekolah di seluruh negara.

“Program ini melahirkan rasa seronok untuk ke sekolah dan rasa teruja untuk belajar, saya sendiri tidak merasa terbeban dengan tugasan di sekolah kerana pengisiannya membuatkan kita rasa tidak sabar ke sekolah setiap hari”
“Program ini banyak mengajar mengenai skil dan komunikasi yang baik. Saya lebih berkeyakinan bukan sahaja dalam akademik malah peningkatan kendiri juga” ujarnya.
Penasihat Yayasan AMIR, Zaida Khalida Shaari berkata, Sekolah Amanah telah menetapkan beberapa sasaran indeks prestasi utama (KPI) yang berkaitan dengan peningkatan hasil pelajar dalam jangka masa lima tahun merangkumi aspek akademik dan bukan akademik seperti keputusan peperiksaan, kemajuan pelajar dan sekolah, perkembangan sahsiah diri (kepimpinan dan kreativiti).

“Program Sekolah Amanah merupakan satu program transformasi sekolah yang lestari dan komprehensif bagi menambah baik kemenjadian murid.
“Menariknya, murid yang tidak berpeluang memegang apa-apa jawatan di sekolah serta bukan pelajar ‘top’ di kelas akhirnya dapat menonjolkan bakat mereka apabila diberi peluang menguruskan aktiviti atau acara tertentu, peluang ini diberi dengan penubuhan Student Voice Group (SVG) di setiap Sekolah Amanah di Malaysia” katanya ketika ditemui pada Persidangan Sekolah Amanah di Hotel Geno, Subang Jaya, Rabu lalu.
Zaida berkata, program Sekolah Amanah kini diperluaskan kepada 94 buah sekolah seluruh negara dan sekolah terpilih dikehendaki mencapai prestasi yang telah ditetapkan dalam tempoh lima tahun.

Persidangan yang dirasmikan oleh Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian KPM, Abdul Muie Ngah itu untuk berkongsi mengenai agenda sebenar program tersebut serta kejayaan dan impak positif yang dicapai.
Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan AMIR, YM Raja Tan Sri Dato’ Seri Arshad Raja Tun Uda.

Pelbagai pengisian padat dirangka pada persidangan dua hari tersebut antaranya forum dan sesi perkongsian bagi memberi informasi kepada para peserta berkenaan proses transformasi dan pencapaiannya.
Matlamat Yayasan AMIR adalah untuk mengubah hasil pembelajaran murid (‘student outcome‘) dengan mendorong peningkatan amalan pengurusan sekolah, memperjuangkan penambahbaikan kurikulum dan penyampaian pendidikan.


Konsep Modal Insan turut diterapkan bagi melahirkan pelajar yang kompeten di peringkat global di sepanjang susur-galur dan ekosistem pembelajaran dengan mempamerkan kualiti, integriti dan nilai jati diri yang teguh.
