Kuala Lumpur – Selepas menerima kelulusan daripada Lembaga Penapisan Filem (LPF) versi seram Winnie the Pooh: Blood and Honey 2, yang telah menimbulkan perbualan hangat netizen kini telah diklasifikasikan 18+, kerana mengandungi adegan ganas dan kejam. Walaupun tiada babak yang dipotong, kelulusan filem ini sekali lagi menjadi topik perbualan hangat netizen menjelang tayangan rasmi dalam negara.
Pengedar filem terkenal tempatan, Mega Films Distribution, telah mengumumkan minggu lepas untuk memberikan yang terbaik untuk memastikan filem bergenre seram tersebut berjaya ditayangkan di Malaysia. Filem tersebut yang menjadi bualan dan kontroversi sejak tahun lepas kini mendapat tarikh tayangan awal berbanding negara jiran seperti Singapura dan Thailand; dan peminat filem tersebut turut teruja menanti keputusan LPF samaada mereka akan dapat menikmati versi asal filem atau terpaksa akur dengan arahan potongan oleh badan tersebut.
Bagi meredakan keterujaan peminat, pengedar telah memberikan kata putus melalui pengumuman oleh dua rangkaian pawagam terbesar Malaysia; GSC dan TGV, bahawa filem tersebut akan ditayangkan tanpa sebarang potongan di seluruh negara. Keputusan ini pasti mengujakan penonton yang tidak sabar untuk mengalami pengalaman tanpa tapisan! Pengumuman ini disambut baik peminat filem bergenre seram tersebut.
Amaran yang diberikan pengedar filem telah tular di media sosial dan mengujakan peminat!
Dengan keterujaan peminat menanti hari pertama tayangan, pengedar Mega Films Distribution buat pertama kalinya mengeluarkan kenyataan rasmi memberikan peringatan berkenaan kandungan yang perlu dipandang serius. Dalam satu muat naik yang dikongsikan, pengedar mengingatkan agar penonton yang berada dalam kategori “wanita mengandung, individu dengan masalah jantung, yang mudah terganggu, dan sesiapa yang mempunyai masalah kesihatan” untuk menonton filem ini di atas risiko sendiri. Ini menandakan babak yang dipaparkan pasti panas dan cukup menggerunkan.
Sejak siri pertama yang ditayangkan tahun lepas, Winnie the Pooh: Blood and Honey, menjadi topik perbualan hangat akibat pengolahan karakter yang dikatakan merosakkan karakter kegemaran kanak-kanak. Selain itu, filem tersebut juga telah dibatalkan saat-saat akhir di Hong Kong, dikatakan berpunca daripada tekanan politik dan ini telah menghangatkan lagi topik filem tersebut di atas talian. Walaupun menerima sambutan yang menggalakkan di atas talian, pengedar filem di Malaysia masih teragak-agak untuk menayangkannya di Malaysia.
Dalam sekuel kali ini, Winnie the Pooh yang kejam, bersama dengan rakan baik Tigger dan Piglet, akan keluar daripada Hundred Acre Wood sekali lagi untuk membalas dendam atas apa yang berlaku dalam filem sebelumnya! Filem ini turut memberi penghormatan kepada filem seram klasik seperti, It, Scary Stories to Tell in the Dark, The Texas Chainsaw Massacre, Halloween dan Happy Death Day yang pasti menyemarakkan lagi saspens dalam kalangan peminat filem seram.
Filem tersebut telah ditayangkan di Amerika Utara beberapa minggu lepas dan yang paling mengejutkan sekuel ini berjaya menerima rating 100% segar di Rotten Tomatoes! Filem tersebut terus kekal dengan rating 88% segar selepas ditayangkan, dan pengkritik filem memuji olahan yang berjaya memberikan kesan melangkaui jangkaan! Ramai yang memberikan pendapat bahawa terdapat banyak penambahbaikan yang berjaya dilakukan berbanding edisi sebelumnya.
Setelah menerima pengumuman mengenai tayangan awal di Malaysia, peminat dan netizen cukup kreatif dengan menghasilkan meme dan parodi berdasarkan watak tersebut. Ramai yang memuat naik hasil mereka disulami elemen tempatan yang pasti membuatkan peminat tidak sabar menunggu hari tayangan!
Visual kreatif oleh Herry Yahya (Prompters Malaya);- diterbiktan dengan izin pengkarya
Versi seram Winnie the Pooh: Blood and Honey 2 akan mengamuk di 90 skrin pawagam seluruh negara pada Rabu, 10 April ini! Untuk maklumat lanjut berkenaan filem ini, sila ikuti page Facebook rasmi Mega Films Distribution:
Trailer Rasmi: https://www.facebook.com/MegaFilmsDistribution/videos/961356082021919
