Anak saudara kepada penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Umai, berjaya merangkul pingat emas di 2024 Junior Champion Vocalist menerusi pertandingan antarabangsa World Championships of Performing Arts (WCOPA) ke-27 di Los Angeles pada Sabtu.
Umai atau nama sebenarnya Ummi Umairah Saiful Anuar, 13, mempertaruhkan lagu berjudul A Natural Woman nyanyian asal Aretha Franklin berjaya menewaskan empat finalis lain termasuk dari Emiriah Arab Bersatu dan Afrika Selatan.
Berita kemenangan itu dikongsi ibu remaja berkenaan, Siti Nursairah Taruddin dalam Instagram.

Kemenangan Umairah turut membanggakan ibu saudaranya, Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Siti dilihat meninggalkan komen di akaun media sosial Umairah.
“Tahniah Umai! Berjaya bawa pulang emas dan mengharumkan nama Malaysia,” komen Siti.
Terdahulu, pada saringan pertama Umai bersaing dalam lima kategori iaitu Kontemporari, Terbuka, R&B, World dan Variety sebelum berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir menerusi kategori R&B.

Dia kemudiannya mara ke peringkat akhir bagi kategori 13 hingga 15 tahun.
Pada peringkat saeingan, Umai menewaskan finalis yang lain antaranya; The Dance Duo, Aleysha Syareef, Ryan Zachary dan Dion Das.
Antara penyanyi hebat tanah air yang pernah meraih kejayaan di pentas WCOPA termasuklah Noryn Aziz, Aina Abdul dan Allahyarham Siti Sarah Raisuddin.
