b33f8150-a641-4290-9916-eb31cc847fdc

Kuala Lumpur – Selepas kejayaan luar biasa pada Jun lalu, konsert Destiny of Music kembali untuk edisi kedua yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam pada 15 November depan.

Kali ini, penganjur utama B De Paris Project menampilkan empat band popular iaitu Akim & The Majistret, Kugiran Masdo, Empty Page dan Insomniacks yang akan menghiburkan peminat dengan lagu popular selama dua jam.

Pemilihan keempat-empat band yang terlibat membawa warna tersendiri kepada Destiny of Music 2.0. Akim & The Majistret, terkenal dengan lirik yang mendalam dan melodi epik, bakal menjadi penyuntik semangat, manakala Kugiran Masdo yang sinonim dengan elemen retro-mod akan memeriahkan suasana dengan vibe yang santai tetapi penuh karisma. Tidak ketinggalan, Empty Page dan Insomniacks yang membawa pendekatan segar dalam genre alternatif, menambah pelbagai rasa muzik kepada penonton.

Ketua Pegawai Eksekutif B De Paris Project, Burhan Ahmad berkata, sambutan positif yang diterima sewaktu penganjuran kali pertama telah mendorong pihaknya bagi meneruskan lebih banyak konsert sebegitu.

“Penganjuran ini mampu memartabatkan dan memberi inspirasi kepada penggiat seni tempatan menerusi platform sedia ada sekali gus membuka lebih banyak peluang kerjasama pada masa hadapan.

“Setiap kumpulan akan mempersembahkan enam buah lagu dan pastinya menghiburkan para peminat dengan nyanyian dan persembahan hangat dari mereka” katanya dalam sidang media di Hotel Royal Chulan, Kuala Lumpur.

Jelasnya, B De Paris Project berbesar hati atas kesudian empat band tersebut bagi menjayakan konsert kali ini selain memaklumkan pihaknya sedang membuat perancangan rapi untuk memastikan penganjuran berjalan dengan lancar.

“Kami berharap konsert ini akan berlangsung dalam suasana gemilang sekali gus memberi impak yang mendalam dengan tawaran harga tiket berpatutan,” ujarnya.

Konsert ini dijangka akan meninggalkan kesan mendalam kepada penonton dengan persembahan yang bukan sahaja bertenaga tetapi juga mencerminkan keunikan muzik Malaysia. Jadi, jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan sendiri Destiny of Music 2.0 pada 15 November ini, dan nikmati pengalaman muzik tempatan yang menakjubkan dalam suasana yang pasti meriah.

Tiket mula dijual hari ini dengan harga RM55 (Silver), RM85 (Gold), RM135 (Diamond), RM155 (Platinum) dan RM285 (VIP) melalui www.ticket2u.com.my.

Konsert Destiny of Music 2.0 turut dibawakan oleh Sinemalis Studio dan Westzone Entertainment sebagai penganjur bersama, Zai Sri Gemilang selaku rakan strategik.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading