Photo 3 (6)

Kuala Lumpur – Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC) berbesar hati mengumumkan pelancaran program kesihatan 90 hari, Time to Move, direka untuk membimbing para peserta dalam perjalanan kesihatan mereka secara holistik. Ia akan dimulai dengan pemeriksaan tubuh dan berakhir dengan penilaian akhir yang mencerminkan kemajuan transformatif mereka.

Program yang dijayakan dengan kerjasama Samsung Malaysia Electronics ini memperkasakan peserta untuk menjaga kesejahteraan mereka dengan menyediakan alatan, bimbingan profesional dan sokongan yang konsisten sepanjang 90 hari untuk memastikan peningkatan yang berpanjangan dalam kesihatan mereka.

Time to Move menggalakkan peserta untuk memulakan perjalanan kesihatan mereka dengan memahami keadaan kesihatan asas melalui pemeriksaan tubuh badan. Sepanjang tempoh 90 hari program ini berlangsung, peserta akan dibantu oleh profesional kesihatan, mengambil bahagian dalam cabaran kecergasan, serta dibekalkan dengan bantuan teknologi untuk memantau kemajuan mereka. 

Program ini akan dirangkum dengan penilaian akhir bagi memberi peluang kepada peserta untuk melihat hasil yang telah berjaya dicapai, menjejak peningkatan, serta merasai kepuasan menjadi lebih sihat, kuat, dan bertenaga.

Program yang dilancarkan di SMC ini menyaksikan kehadiran:

  • Dr. Seow Vei Ken, Ketua Pegawai Eksekutif, SMC
  • Pn. Tan Mei Shin, Pengarah Kanan Pembangunan Perniagaan & Komunikasi Korporat, SMC
  • Dr. Lim Pek Yean, Ketua Pusat Kesihatan dan Pergigian, SMC
  • En. KM Liew, Naib Presiden & Ketua Perniagaan Pengalaman Mudah Alih, Samsung Malaysia Electronics
  • En. Kevin Taehoon Kim, Pengarah Perniagaan, Perniagaan Pengalaman Mudah Alih, Samsung Malaysia Electronics
  • En. Luke Au, Ketua Pemasaran Produk, Perniagaan Pengalaman Mudah Alih, Samsung Malaysia Electronics

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Perubatan Sunway, Dr. Seow Vei Ken berkata, “Di Pusat Perubatan Sunway, kami ingin menggalakkan individu untuk mengawal kesihatan mereka dengan cara yang bermakna dan berterusan. Program Time to Move mencerminkan komitmen kami terhadap penjagaan kesihatan holistik, bermula dengan pemeriksaan badan pada peringkat awal program untuk membantu peserta memahami tahap kesihatan mereka, dan akan diakhiri dengan penilaian akhir yang menunjukkan pencapaian mereka. Ia bukan sekadar menilai tahap kesihatan peserta di peringkat awal sahaja, tetapi juga untuk melihat perubahan diri mereka ke arah versi diri yang lebih sihat dalam tempoh 90 hari.”

Time to Move merupakan program 90 hari yang dirangka buat individu berumur 18 tahun ke atas dan bermatlamat untuk meningkatkan tahap kesihatan mereka, dengan syarat mereka tidak terikat dengan pengambilan sebarang ubat-ubatan. Program dimulakan dengan peserta perlu menjalani pemeriksaan kesihatan menyeluruh di Sunway Wellness Centre, termasuk melakukan ujian InBody dan ujian darah untuk menetapkan metrik kesihatan utama. Untuk bulan-bulan berikutnya, mereka perlu mengambil bahagian dalam siri cabaran kecergasan yang menarik dan ceramah kesihatan oleh profesional penjagaan kesihatan bagi meningkatkan kesihatan dan kecergasan mereka.

Proses pengambilan untuk program 90 hari ini telah bermula sejak 3 Oktober dan lebih 200 pendaftaran telah diterima. Seramai 60 orang peserta telah dipilih untuk memulakan pengalaman yang menarik ini. 

Peserta yang terpilih akan menerima seutas jam tangan pintar Samsung Galaxy Watch7 untuk menjejak aktiviti harian, memantau kalori yang dibakar dan mengukur kualiti tidur mereka. Cabaran bulanan yang memfokuskan aktiviti fizikal dan skor tidur dapat memastikan peserta tetap bermotivasi, manakala profesional penjagaan kesihatan akan memberikan pandangan dan panduan secara berkala berdasarkan perkembangan mereka.

Sebagai tambahan kepada cabaran fizikal, program ini turut merangkumi sesi senaman berkumpulan yang diketuai oleh pakar bagi memastikan peserta kekal bermotivasi sepanjang penglibatan mereka. Menjelang penghujung 90 hari, peserta akan menjalani pemeriksaan akhir untuk membandingkan keputusan dan meraikan perkembangan mereka. 

Peserta dengan pencapaian terbaik akan membawa pulang sebuah telefon bimbit Samsung Galaxy Z Flip6 dan satu pakej percutian 3 hari 2 malam untuk dua orang di The Banjaran Hotsprings Retreat bernilai RM 10,000.

“Kami di Samsung sentiasa berusaha untuk memacu inovasi dalam pemantauan kesihatan dengan menawarkan alatan canggih melalui penjejakan tidur, latihan kecergasan atau cerapan pemakanan,” kata En. KM Liew, Naib Presiden dan Ketua Perniagaan Pengalaman Mudah Alih, Samsung Malaysia Electronics. “Program kesihatan selama 90 hari Time to Move ini mencerminkan komitmen kami untuk membantu pengguna mendapat maklumat lebih terperinci mengenai tahap kesihatan mereka dan membuat pilihan gaya hidup yang positif dan termaklum.”

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading