fadb485a-49b3-4805-93ef-93f72b62a7bf

Kuala Lumpur – Satu memerorandum persefahaman telah dimeterai antara tiga entiti; Rakyat Trustee Berhad (RTB) dengan Nusa Kapital Sdn. Bhd. (Nusa Kapital) dan juga sebuah syarikat hartanah, TT Gratia Group bagi memperkasa koperasi dan ahlinya.

Dalam majlis pemeteraian tersebut, Pengerusi Rakyat Trustee Berhad, Datuk Zazali Haron menekankan kerjasama itu dilihat mampu memberi manfaat kepada masyarakat sekali gus membantu orang ramai memiliki rumah mampu bagi projek yang akan dijalankan di Melaka nanti.

Beliau dalam ucapannya berkata, RTB sentiasa berfungsi menjaga dana koperasi dan memastikan setiap satu yang dikeluarkan mengikut prosedur yang digariskan agar terus terjaga.

“Kerjasama ini membantu ahli koperasi memiliki rumah mampu milik dibawah inisiatif ini dan menjadi tanggung jawab kami menjaga setiap dana pelabur dikeluarkan mengikut garis panduang yang ditetapkan” katanya.

Dalam satu sidang media, Pengarah Urusan RTB, Faudzi Mt Din menjelaskan RTB berkerjasama dengan Nusa Kapital sebagai platform pembiayaan bagi projek ini.

“Nusa Kapital bertindak mencari pelabur dan kami di RTB menjaga amanah tersebut, jika pihak pemaju TT Gratia memerlukan dana tersebut perlulah memohon kepada kami dan kita akan buat cross checking kemudian barulah dana tersebut boleh dikeluarkan.

“Dana ini akan dikeluarkan secara berperingkat mengikut proses pembinaan yang dilakukan” ujarnya.

Jelasnya lagi, kerjasama yang termeterai ini akan melibatkan dana sebanyak RM50 juta di mana RTB akan menjadi peme­gang amanah bagi dana tersebut untuk memastikan kelancaran projek hartanah tersebut mengikut perjanjian yang dimeterai malah memantau tadbir urus Nusa Kapital dan juga TT Gratia bagi melindungi pelabur sekali gus kepada para pembeli projek tersebut.

“Ini merupakan usaha sama pertama bersama Nusa Kapital yang merupakan penyedia platform pembiayaan antara-rakan-setara atau peer to peer (P2P) patuh syariah pertama di negara malah di dunia.

“Kami juga akan memastikan segala transaksi dalam projek ini berlaku di bawah pemantauan RTB memandangkan ramai pelabur yang masih tidak membuat penyelidikan atau pengetahuan sehingga tersilap dalam aktiviti pelaburan kerana teruja dengan janji pulangan yang tinggi” katanya.

Ketua Pegawai Operasi Nusa Kapital, Izmi Marican menambah pihaknya akan menilai rekod sejarah syarikat, kekuatan dan juga pulangan yang dijangkakan, tempoh masa pulangan tersebut boleh dimanfaat pelabur serta pelbagai perkara lain yang menjadi keutamaan.

“Sebagai sebuah platform pembiayaan, kami akan membuat pemantauan bukan sahaja pada peringkat awal tetapi juga sehingga selesai disiapkan, malah kami juga boleh membuat analisa daripada perjanjian yang ditandatangani pembeli bagi memastikan projek tersebut mengikut garis panduan,” jelasnya.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading