Bangi – Padanan kerja menerusi platform LabBase mampu membantu para graduan Master dan PHD pengajian sains dan teknologi membina ekosistem pencari kerja dan majikan, dan pada masa sama, membantu membina jaringan hubungan antara Malaysia dan Jepun.
Timbalan Dekan Siswazah Fakulti Sains Teknologi, Prof Madya Dr Abdul Munir Abd Murad berkata kerjasama antara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan LabBase mampu membantu graduan mencari pekerjaan yang bersesuaian dalam bidang pengajian mereka.
“Di Malaysia kita kekurangan majikan atau syarikat penyelidik terutama dalam sektor teknologi, selepas pihak Leave A Nest datang bertemu saya dan menerangkan tentang tawaran kerjasama dengan sebuah syarikat dari Jepun, saya merasakan ini adalah satu peluang terbaik untuk graduan UKM.
“Kerjasama UKM dan LabBase adalah bertujuan membangunkan kepakaran dan mendapatkan kerjaya sebagai penyelidik atau jurutera dimana ia juga satu nilai tambah yang baik kepada graduan UKM” katanya dalam sidang media di Akademi Cyber Teknopolis disini hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif LabBase, Michiaki Kamo pula menambah, UKM merupakan universiti pertama di Malaysia dalam menjalinkan kerjasama ini.
“LabBase ditubuhkan sebagai perkhidmatan mencari pekerjaan yang membolehkan anda mendaftarkan kandungan dan kemahiran penyelidikan serta berhubung dengan syarikat-syarikat berdaftar.
“Dibawah LabBase ada lebih kurang 700 buah syarikat berdaftar dan kami lebarkan jaringan ini bersama menjalinkan kerjasama dengan Malaysia sebagai negara pertama dan memilih UKM kerana yakin prestasi mereka melahirkan graduan terbaik” jelasnya.

Tambahnya, LabBase berbeza dari platform pencari kerja yang lain kerana bukan sahaja menawarkan pekerjaan malah para graduan juga boleh bertukar-tukar idea melalui penyelidikan yang dilakukan.
Turut hadir, Pengarah LabBase Asia, Koichi Miyazaki dan Penolong Pengurus Leave A Nest, Dr. Hadi Akbar Dahlan.
