Kuala Lumpur – Mohd Shahrulnizam Fadil atau lebih dikenali sebagai Chef Shah, 41, mula dikenali bukan sahaja dengan produk sambal segeranya, malah melalui bakat nyanyiannya juga.
Bermula dengan melontarkan kekuatan vokalnya melalui platform TikTok secara suka-suka untuk mengisi masa lapang, kini Shah mampu menubuhkan kelab peminatnya sendiri.
“Saya bermula dengan niat mengisi masa lapang menyanyi di TikTok.
“Pada awalnya siaran live yang saya lakukan tiada seorang pun penonton, lama kelamaan semakin bertambah jumlah penonton dan mereka juga bermurah hati memberi gift sebagai tanda sokongan, sejak itu tertubuhlah kelab peminat Chef Shah sejak 3 bulan lepas” katanya kepada Malaysianews TV.

Jelasnya, dengan sokongan tidak berbelah bahagi para peminatnya itu, beliau berbesar hati mengadakan Chef Shah Fan Club Meet & Greet disamping melancarkan produk sambal keluaran jenamanya.
“Untuk mendapatkan jumlah tontonan semasa live TikTok bukanlah suatu yang mudah, ia sangat struggle dan kita perlu pandai tackle penonton untuk terus menonton dan menjadikan mereka tertunggu-tunggu siaran live kita.
“Saya rasa kagum dengan para peminat yang sanggup menonton live selama 3 hingga 4 jam bukan sahaja untuk melihat saya menyanyi tetapi dalam program masakan saya juga” ujarnya lagi.

Tambahnya lagi, beliau bakal mengeluarkan satu lagu single dengan kerjasama komposer terkenal, Zul 2by2 pada tahun hadapan.
“Alhamdulillah, bakat saya dikesan abang Zul setelah saya menang pertandingan nyanyian dalam platform TikTok yang dianjurkan olehnya.
“InsyaAllah, lagu bergenre rancak dan catchy dilihat sesuai dengan bentuk vokal saya dan saya serahkan semuanya kepada abang Zul kerana beliau lebih arif berkenaan ini” katanya.
Ditanya mengenai dakwaan para peminatnya yang menyamakan dirinya dengan Datuk Aliff Syukri, beliau berkata itu mungkin dari pandangan orang ramai sahaja.
“Datuk Aliff Syukri satu nama yang besar, tidak dinafikan ada yang mengatakan kami nampak sama, tetapi dia adalah dia dan saya adalah saya. Kami tidak sama dan saya ingin dikenali dengan identiti sendiri” jelasnya lagi.
Dalam perkembangan sama, Zul 2by2 menyatakan beliau mengesan bakat Chef Shah ketika membuat uji bakat nyanyian di platform TikTok dan merasakan influencer berkenaan ada bakat yang perlu digali dan digilap.

“Untuk single yang akan dibuat nanti, lagu jenis catchy dipilih kerana ia sesuai dengan vokalnya dan saya inginkan suatu kelainan yang ditonjolkan untuk halwa telinga pendengar agar lebih segar dan ceria mendengarnya” ujarnya ketika ditemui pada majlis sama.
