Kuala Lumpur – Kontroversi hutang Mara bernilai hampir sejuta menyebabkan beberapa jenama yang sebelum ini berhasrat untuk berkolaborasi dengan pelakon Rozita Che Ta tiba-tiba berdiam diri.
Rozita atau lebih dikenali sebagai Che Ta, berkata sebelum ini beberapa jenama menunjukkan minat untuk bekerjasama dengannya tetapi selepas kontroversi itu menjadi perhatian ramai, dia tidak lagi menerima khabar berita dari jenama-jenama berkenaan.
Bagaimanapun, pelakon berusia 52 tahun itu meluahkan kesyukuran apabila jenama terkenal Ariani Luxe sanggup mengenepikan kontroversi membabitkannya sebaliknya sudi melantiknya sebagai duta.
“Semasa isu saya tengah panas, banyak jenama yang sebelum ini berjanji untuk kerjasama terus mendiamkan diri.
“”Saya berharap kolaborasi dengan Ariani Luxe ini akan membuka lebih banyak pintu rezeki, dan seterusnya melonjakkan jenama ini juga.
“Terima kasih kepada pemilik jenama Ariani, Datin Seri Farah Haryani, kerana memberi peluang ini kepada saya di saat saya berdepan dengan cabaran,” katanya dalam sidang media pertunjukan fesyen Hikayat Ariani Karya Seindah Busana di sini, hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Ariani Textiles and Manufacturing (M) Sdn Bhd, Datin Seri Farah Haryani Muhammad Philip, berkata dia enggan mengulas mengenai kontroversi membabitkan pelakon Kiah Pekasam itu tetapi tertarik melamar Che Ta kerana komitmen yang ditunjukan pelakon itu.
Katanya hubungan baik yang sudah terjalin sejak 2007 mendorongnya tetap memilih selebriti terbabit sebagai duta Luxe Ariani.
“Saya mengenali Che Tan dari zaman Jakel lagi, pemilihannya bukan dibuat atas dasar kasihan atau ingin membantunya.
“Tetapi sebagai duta, Che Ta memiliki pakej lengkap iaitu seorang yang sangat komited, berdedikasi, disiplin, tidak berkira dan suka membantu.
“Kualiti itu yang membuatkan kami tertarik melantiknya sebagai duta. Saya tidak mahu komen soal ingin membantu kerana masing-masing ada masalah sendiri,” katanya.
