KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membuka kapsul masa Wawasan 2020 yang telah disimpan sejak 1 Oktober 1996 dalam satu majlis khas yang berlangsung di Menara Kuala Lumpur pada Ahad.
Kapsul bersejarah berusia lebih 28 tahun itu mengandungi pelbagai barangan simbolik yang mencerminkan aspirasi dan harapan negara untuk mencapai status negara maju menjelang tahun 2020, sebagaimana yang digariskan dalam gagasan Wawasan 2020 yang diperkenalkan Dr Mahathir.
Dalam majlis tersebut, Dr Mahathir secara simbolik membuka kapsul berkenaan dan memperlihatkan kandungan di dalamnya yang mencerminkan visi dan harapan besar Malaysia ketika beliau melancarkan gagasan Wawasan 2020 hampir tiga dekad lalu.
Pembukaan kapsul ini adalah lambang kesinambungan sejarah dan impian besar negara yang digagaskan melalui Wawasan 2020.
Majlis hari ini turut diraikan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri di sini anjuran Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd. (MKLSB) bertemakan ‘Raikan Raya Bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad’.
Terdahulu, Pengarah Urusan MKLSB, Datuk Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh berkata, majlis tersebut dibiayai sepenuhnya oleh pihak pengurusan sebagai tanda penghargaan kepada seluruh warga kerja MKLSB serta menghormati jasa Dr. Mahathir sebagai tokoh penting yang mencorakkan pembinaan menara ikonik negara itu.
“Kapsul masa berkenaan ditanam pada 1 Oktober 1996 bersempena perasmian Menara Kuala Lumpur dan sepatutnya dibuka pada tahun 2020.
“Namun, berikutan pelbagai faktor termasuk pandemik Covid-19, pembukaan kapsul tersebut terpaksa ditangguhkan.
“Kunci kepada kapsul tersebut telah dijaga dengan penuh amanah oleh Ketua Pegawai Operasi MKLSB, Affandi Abdullah, selama lebih 28 tahun, satu simbol dedikasi dalam menjaga warisan negara,” katanya.
