Kuala Lumpur – Mendapat sambutan luar biasa selepas lagu Satu Hari Di Hari Raya menjadi penutup tirai Konsert M N46IR Cipta 2 pada Oktober tahun lalu, penghibur prolifik Datuk M. Nasir hadir dengan sebuah siri konsert Datuk M N46IR Cipta Raya malam tadi.
Membersi suntikan yang berbeza dan lebih istimewa apabila buat kali pertama dalam sejarah penonton disajikan dengan alunan lagu raya oleh maestro muzik, Datuk M Nasir sekali gus melakar sejarah dalam konsert tersebut.

M. Nasir atau nama sebenarnya Mohamad Nasir Mohamed Sam, 67, berkata, koleksi kemeriahan dan kesyahduan seleksi lebaran wajar direalisasikan setiap tahun secara besar-besaran.
“Okeykan kalau kita kongsikan banyak lagu nostalgia macam malam ini. Konsert ini sangat istimewa.
“Saya harap konsert seperti ini dijadikan budaya. Setiap hari raya akan ada konsert besar,” katanya ketika Konsert Datuk M. N46IR Cipta Raya, di sini, malam ini.

Penghibur Tanahair itu membawa 20 lagu termasuk tiga lagu raya klasik yang mengimbau nostalgia.
Antara lagu malar segar itu adalah Suara Takbir nyanyian Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Selamat Hari Raya (Allahyarham Puan Sri Saloma) dan lagu milik penyanyi Indonesia, Allahyarham Oslan Husein berjudul Selamat Hari Lebaran.
Lagu raya lain yang turut dinyanyikan adalah Raya Yang Sempurna, Hari Raya Hari Bahagia, Halaman Asmara, Lebaran Bonda, Salam Dunia dan Satu Hari Di Hari Raya.
Turut dipersembahkan pada konsert berdurasi hampir dua jam itu adalah Hati Emas, Sahabat Gua, Apokalips dan Raikan Cinta.

Lebih menarik apabila hampir 2,000 penonton yang hadir turut dijamu dalam majlis rumah terbuka sebelum konsert bermula.
Penonton juga tidak pulang dengan tangan kosong kerana bukan hanya dihiburkan persembahan bertaraf lima bintang dengan perut kenyang, bahkan diberikan duit raya.
