Kuala Lumpur – Berjaya Tioman Resort berjaya menjadi lambang hospitaliti terbaik di persisir Laut China Selatan. Sambutan ulang tahun ke-40 ini bukan sahaja menandakan pencapaian usia, tetapi juga memperkukuh komitmen resort terhadap kelestarian alam sekitar sambil mengekalkan keselesaan dan kemewahan untuk para pengunjung.
Sejak ditubuhkan pada tahun 1985 sebagai hotel pertama di bawah kumpulan Berjaya, resort ini telah melalui pelbagai evolusi daripada penaiktarafan fasiliti, pengalaman tetamu yang lebih peribadi, hinggalah kepada pelaksanaan amalan mesra alam secara menyeluruh.

Penolong Pengurus Besar Unit Komunikasi dan Kelestarian Berjaya Land Berhad, Mohamed Syairoz Mohd. Odman berkata, ulang tahun ini bukan sekadar genap umur, tetapi juga memperkukuh komitmen resort terhadap amalan hijau dan pemeliharaan alam sekitar. Ia juga satu penghargaan kepada semua kakitangan, komuniti setempat dan para pengunjung yang menyokong resort sejak awal penubuhan.
“Empat puluh tahun adalah satu pencapaian besar. Kami bermula sebagai resort kecil di tepi pantai, kini berkembang menjadi destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa dengan pelbagai kemudahan moden tanpa menjejaskan keindahan alam sekitar. Matlamat kami adalah untuk terus mengekalkan Pulau Tioman sebagai syurga tropika sambil memberi pengalaman percutian yang tidak dapat dilupakan.
“Kita juga mendidik pengunjung dengan pelbagai inisiatif antaranya penghapusan penggunaan plastik sekali guna, pelaksanaan aktiviti pelancongan mesra terumbu karang, program penanaman semula terumbu dan pemeliharaan marin” katanya.

Resort turut menyokong inisiatif murni penduduk tempatan yang mengusahakan pemeliharaan marin dengan membantu spesis penyu dengan menyumbang barangan asas dan makanan penyu.
“Ini adalah salah satu usaha Berjaya Tioman Resort dalam membantu penduduk yang mengusahakan tapak pemuliharaan penyu dan sumbangan ini diberikan sebagai tanda sokongan kami” ujarnya lahgi.


Jelasnya, resort ini juga turut memberi tumpuan kepada integrasi sosial, dengan menyokong pekerja tempatan termasuk generasi kedua penduduk pulau dan perkongsian kemudahan seperti kolam renang dan padang bola dengan komuniti sekitarnya.
Dengan pemandangan pantai yang memukau, perairan jernih dan khazanah marin yang menakjubkan, Berjaya Tioman Resort terus menjadi destinasi pilihan bagi pencinta alam dan pelancong dari seluruh dunia. Ulang tahun ke 40 ini menjadi bukti dedikasi resort dalam mengekalkan reputasi sebagai salah satu permata pelancongan negara.
