Dalam dunia media sosial hari ini, fitnah terhadap selebriti bagaikan sudah jadi satu ‘sukan’ buat segelintir netizen.
Tanpa usul periksa, tuduhan dilemparkan sesuka hati hanya untuk kepuasan sendiri, seolah-olah papan kekunci memberi lesen untuk merosakkan maruah orang lain.
Disebabkan itu, pelakon Fattah Amin memberi amaran kepada orang ramai untuk tidak menabur fitnah terhadapnya dan orang lain.
“Sebelum ini saya tidak ambil kisah apa sahaja orang bercakap tentang diri saya.
“Namun apabila fitnah yang dilemparkan bukan sahaja menjejaskan reputasi saya, tetapi juga keluarga, anak dan juga karier saya terpaksa ambil tindakan.
“Keputusan mahkamah hari ini boleh dijadikan amaran kepada orang ramai supaya tidak menabur fitnah tanpa bukti terhadap sesiapa sahaja,” katanya.
Tegasnya, tindakan undang-undang diambil bukan bagi pertahankan diri sahaja, sebaliknya ia untuk memberi kesedaran kepada orang ramai untuk tidak menyebarkan fitnah.
“Fitnah tidak elok dan tidak sepatutnya menjadi budaya dalam masyarakat kita, apatah lagi pada zaman media sosial berleluasa di mana sesiapa sahaja boleh kongsi berita tidak sahih.
“Saya selalu ingatkan jika perkara yang mahu disuarakan itu tidak baik, lebih baik diam. Sebut sahaja apa yang baik-baik.
“Jika ada masalah, anda boleh hantar mesej. Saya ada pengurusan saya sendiri. Anda boleh berjumpa pengurus saya atau saya. Jangan sebarkan di media sosial,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan pempengaruh media sosial, Elcah dan suaminya, Mohd Hafizzuddin Hamri, diminta menurunkan hantaran di Threads yang didakwa berunsur fitnah terhadap Fattah.
Kenyataan itu mendakwa Fattah berlaku curang ketika masih bergelar suami kepada pelakon Nur Fazura sehingga membawa kepada penceraian mereka.
