Shah Alam – Kumpulan muzik yang terdiri dari kakitangan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Lot 17 hari ini melancarkan single terbarunya.
Single yang berjudul Mencari Sinar yang ditulis RossBai dan lagu digubah oleh Jatt Aziz. Lagu disusun dan diterbitkan oleh Zul 2by2.
Kumpulan Lot 17 dianggotai oleh 7 orang antaranya Tuan E-zat sebagai vokalis, Lie (pemain gitar utama), Lan Asbu (pemain gitar kedua), Nazz (Basis), Amer Ameroll( Drummer), Boy (pemain keyboard) dan Armadd (violin).
Lot 17 merupakan band yang berpengalaman memainkan pelbagai genre muzik. Ditubuhkan pada tahun 2010, Lot 17 juga merupakan kombo Majlis Bandaraya Kuala Terengganu dibawah unit kebudayaan. Band ini juga menjadi pilihan membuat persembahan bagi majlis-majlis keraian kerajaan negeri. Selain itu, Lot 17 juga pernah membuat persembahan pada majlis santapan Diraja.Pernah juga mengiringi artis terkenal, Datuk Awie pada majlis Mekar Fest 2025.

Tuan E‑zat menyifatkan pelancaran lagu ini sebagai suatu rezeki yang tidak dijangka, terutamanya setelah lebih 10 tahun beliau bersama kumpulan tersebut. Walaupun perjalanan mereka tidak mudah, pengalaman membuat persembahan di pelbagai pentas rasmi dilihat banyak membantu mematangkan mereka.
Sementara itu, pengasas Casalwa dan Pengarah PZR Resources yang juga merupakan penaja, Datin Sharifah Salwa Syed Shafie berharap lagu ini mampu diterima masyarakat dan memeriahkan industri muzik di Malaysia.

“Saya harap Mencari Sinar mampu sebaris dengan lagu-lagu popular lain dan menjadi halwa telinga yang digemari masyarakat.
“Bakat kumpulan ini harus diketengahkan kerana mereka ada pakej suara dan pemuzik yang bagus, keinginan saya untuk melihat bakat baru seperti Lot 17 diberi peluang di arena yang lebih besar.” katanya.
Beliau juga menyokong bukan hanya dari aspek muzik, tetapi imej dan persembahan. Sebagai contoh, jenama Casalwa bersetuju menaja pakaian untuk Lot 17 dan komposer sebagai tanda penghargaan.
Penerbit dan peyusun lagu, Zul 2by2 pula merakamkan setinggi penghargaan bagi warga kerja dan penaja yang bersama-sama merealisasikan lagu ini.

“Keistimewaan lagu ini terletak pada vokal Tuan E‑zat yang dianggap sebagai semangat utama karya tersebut. Beliau menambah bahawa gaya nyanyian E‑zat mampu membawa pendengar kembali ke zaman kegemilangan balada rock 90-an era yang penuh emosi dan nostalgia.
“Susunan muzik yang dibina adalah mudah untuk diterima pendengar masa kini, tetapi tetap mengekalkan roh klasik. Mencari Sinar adalah satu karya yang memeriahkan lagi industri muzik kita.
“Saya berharap lebih ramai lagi pihak mahupun penaja bersama-sama mengangkat lagu-lagu terbaik dan pemuzik berbakat ke peringkat lebih tinggi” ucapnya dalam majlis perasmian yang berlangsung di Casa Leal, Bukit Jelutong.
Majlis pelancaran ini juga turut diserikan dengan pertunjukan koleksi terbaru jenama Casalwa.
