2

KEADAAN penyanyi Amad yang rebah sebelum membuat persembahan di pentas Grand Finale Talk To My Manager (TTMM) pada malam Ahad menimbulkan kebimbangan dalam kalangan peminat.

Mengulas mengenai kejadian itu, Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad memaklumkan pihaknya masih menyiasat punca sebenar insiden tersebut.

“Kejadian yang berlaku pada Amad itu diluar jangkaan dan kami masih siasat dan tidak tahu puncanya.

“Kondisinya sekarang okey. Kita dah periksa dengan pasukan perubatan yang disediakan, semua vital dia normal. Dari segi kesihatan, dia tidak ada apa-apa masalah seperti yang telah disahkan oleh pasukan perubatan.

“Sebelum persembahan, mungkin dia mengalami sedikit ketidakselesaan, namun secara keseluruhan dia tidak demam atau menunjukkan tanda-tanda tidak sihat,” katanya ketika ditemui selepas siaran langsung konsert akhir TTMM di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), di sini, semalam.

“Selepas berbincang dengan pengurusnya iaitu Siti Saerah dan Amad sendiri, kita serahkan keputusan kepada mereka sama ada mahu meneruskan atau tidak.

“Jadi apa yang dia berusaha lakukan meskipun dalam keadaan begitu, itulah apa yang anda saksikan,”katanya.

Tambah Raqim, kesihatan peserta dan seluruh tenaga kerja produksi menjadi keutamaan utama pihak Astro dan langkah-langkah keselamatan serta kesihatan sentiasa dititikberatkan dalam setiap penganjuran program.

Dalam pada itu, Raqim turut mengesahkan bahawa Astro telah pun mempunyai perancangan untuk meneruskan program TTMM bagi musim akan datang, susulan sambutan positif yang diterima daripada penonton serta golongan selebriti sendiri.

“Insya-Allah, memang kita dah ada perancangan untuk musim seterusnya. Ramai selebriti sudah menawarkan diri untuk turut serta.

“Musim pertama ini memang mencabar sebab ramai belum faham konsepnya, tapi kami gembira melihat hubungan kekeluargaan dan semangat kerjasama yang terjalin antara pengurus dan artis,” katanya.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading