34

Kuala Lumpur – Platform akses gaji diperoleh (EWA) terkemuka di Malaysia, Setlary, berjaya menutup pusingan pelaburan strategik yang menilai syarikat itu pada RM100 juta. Pelaburan ini dipimpin oleh Lion X dan Holborn Capital Partners, menandakan keyakinan kukuh terhadap potensi pertumbuhan Setlary di rantau ini.

Setlary menjelaskan bahawa dana terbaharu ini akan digunakan untuk mempercepatkan pengembangan ke seluruh Asia serta mengukuhkan lagi platform kesejahteraan kewangannya yang menyasarkan golongan pekerja.

Selain pelabur baharu tersebut, CapBay turut tampil memberikan sokongan tambahan melalui akses kepada modal alternatif. Secara keseluruhan, kumpulan pelabur ini bakal menyediakan sehingga AS$25 juta dalam kapasiti pembiayaan bagi membantu Setlary meningkatkan skala dan memperluas portfolio pelanggannya.

Pengasas bersama Setlary, Charles Chew, berkata bahawa suntikan pelaburan ini bukan sekadar pembiayaan, tetapi juga pengiktirafan terhadap misi syarikat untuk mempertingkat kesejahteraan kewangan pekerja.

“Langkah strategik ini memastikan lebih ramai pekerja dapat mengakses sebahagian pendapatan mereka lebih awal, di samping memanfaatkan program Wellness Setlary untuk kestabilan kewangan jangka panjang.

“Matlamat kami adalah untuk menjadikan ‘Setiap Hari, Hari Gaji’,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Lion X, Irene Guo, turut menyatakan keyakinan terhadap kekuatan teknologi dan model operasi Setlary yang berorientasikan majikan. Menurutnya, pendekatan Setlary mampu memberikan manfaat sebenar kepada pekerja serta membantu syarikat dalam meningkatkan produktiviti dan kadar pengekalan tenaga kerja.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Holborn Capital, Ong Sheng Jie, berkata Setlary sepadan dengan strategi pelaburan mereka yang memberi tumpuan kepada perniagaan yang mampu berkembang secara mampan dan menghasilkan impak nyata. Katanya, model operasi Setlary yang berdisiplin serta nilai tambah yang jelas kepada majikan dan pekerja menjadikannya pelaburan jangka panjang yang kukuh.

Dalam satu temuramah bersama Presiden Persatuan ESG Malaysia, Prof. Cheah Kok Hoong, menyatakan bahawa kemudahan akses gaji diperoleh (EWA), yang membolehkan pekerja mengeluarkan sebahagian gaji sebelum tarikh bayaran rasmi, mampu menjadi solusi penting bagi golongan berpendapatan rendah untuk menangani perbelanjaan asas harian atau mingguan. Menurutnya, inisiatif ini boleh meningkatkan kesejahteraan pekerja secara keseluruhan.

“Pekerja perlu menerima gaji tepat pada masanya supaya mereka dapat bekerja dengan lebih gembira, selesa dan sepenuh hati. Barulah mereka mampu memberikan sumbangan terbaik kepada perniagaan, khususnya PKS. Jika PKS tidak mempunyai aliran tunai yang stabil untuk membayar gaji, pekerja akan terkesan dan keadaan ini akhirnya mewujudkan satu kitaran yang tidak sihat,” katanya dalam sidang media Setlary, penyedia platform EWA, di sini hari ini.

Beliau menambah bahawa konsep EWA selari dengan aspek sosial dalam rangka kerja Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), khususnya dari sudut kesejahteraan pekerja yang sebelum ini kurang mendapat perhatian.

Prof. Cheah turut menegaskan bahawa EWA seharusnya dipromosikan dengan lebih meluas, terutamanya dalam sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS), memandangkan sektor tersebut menyumbang kira-kira 38 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan merupakan antara tonggak utama ekonomi negara.

Platform Setlary menyediakan penyelesaian nyata dan tanpa kos kepada majikan untuk meningkatkan kesejahteraan kewangan pekerja, seterusnya meningkatkan pengekalan kadar pekerja dan pengambilan pekerja yang lebih baik.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading