PORT KLANG – Malaysia mencatat sejarah baharu dalam sektor pelancongan maritim dengan ketibaan dan pelayaran sulung M/V Piano Land, kapal persiaran China pertama yang berpengkalan secara rasmi di negara ini.
Pelancaran bersejarah tersebut disambut melalui majlis sambutan rasmi dan upacara menaikkan bendera yang diadakan di Terminal Kapal Persiaran Port Klang (PKCT), sekali gus menandakan langkah penting Malaysia dalam memantapkan kedudukannya sebagai hab pelayaran antarabangsa di Asia Tenggara.
Pelayaran sulung M/V Piano Land bukan sahaja mengukuhkan imej Malaysia sebagai destinasi pelayaran mesra Muslim dan sesuai untuk keluarga, tetapi turut mencerminkan kerjasama erat antara industri pelancongan Malaysia dan sektor pelayaran China, yang terus berkembang pesat di rantau ini.

Kapal utama milik Astro Ocean Cruises ini merupakan kapal persiaran mewah pertama China yang dioperasikan secara bebas. Penempatannya di Malaysia sebagai ‘overseas homeport‘ menandakan peralihan signifikan daripada operasi domestik kepada ekspedisi pelayaran antarabangsa yang lebih luas.
Kapal mewah seberat 70,000 tan yang berusia hampir 30 tahun ini pada asalnya ialah kapal klasik Eropah yang dinamakan oleh Ratu Elizabeth II. Ia kini melalui proses penaiktarafan menyeluruh sehingga berjaya menggabungkan keanggunan tradisional British dengan sentuhan hospitaliti China yang lebih mesra dan bersesuaian dengan kehendak pelancong Asia. Gabungan unsur warisan Eropah dan perkhidmatan berorientasikan Asia ini mewujudkan pengalaman percutian maritim premium yang memenuhi piawaian global.
Penaiktarafan M/V Piano Land juga mencerminkan kemajuan teknologi serta keupayaan China dalam membangunkan kapal persiaran bertaraf antarabangsa secara berdikari, sekali gus menandakan perkembangan strategik industri pelayaran negara tersebut di peringkat global.
Sebagai penanda aras pelayaran sulung dari Malaysia, upacara pertukaran plak yang merupakan tradisi maritim global diadakan bagi meraikan kunjungan pertama kapal ke sesuatu pelabuhan (homeport). Dua sesi pertukaran plak berlangsung antara Pengerusi PKCT serta Pengerusi Lembaga Pelabuan Klang dengan Kapten Hou Rubo, mewakili M/V Piano Land.
Upacara itu bukan sahaja meraikan ketibaan kapal berkenaan, malah memperkukuh hubungan antara Malaysia dan rakan pelayaran antarabangsa dalam usaha memajukan industri pelayaran rantau ini.
Pengerusi PKCT, Dato’ Azman Shah Mohd Yusof, menyatakan bahawa keputusan Astro Ocean Cruises untuk menempatkan kapal mereka di Malaysia mencerminkan keyakinan tinggi terhadap infrastruktur pelabuhan negara serta hubungan kukuh antara PKCT, Hwajing Travel & Tours dan rakan pelayaran China.

Beliau menegaskan bahawa kerjasama ini mengukuhkan impian Malaysia untuk menjadi pintu masuk utama pelayaran di Asia Tenggara dan destinasi pilihan untuk pelancong yang mencari pengalaman pelayaran pelbagai segmen, termasuk pelayaran keluarga, budaya dan mesra Muslim.
Sementara itu, Pengarah Urusan Hwajing Travel & Tours, Kenny Cheong, berkata ketibaan M/V Piano Land bertepatan dengan ulang tahun ke-36 syarikat tersebut dan menjadi bukti komitmen mereka dalam menjadikan percutian pelayaran lebih mudah diakses oleh pelancong dari Malaysia dan Asia Tenggara.
Pelayaran sulung M/V Piano Land dijangka meningkatkan ketibaan pelancong antarabangsa melalui laluan pelayaran serantau yang dirancang, sekaligus memberi impak ekonomi positif kepada sektor pelancongan, perhotelan, peruncitan serta ekonomi setempat di destinasi yang dilawati.
Kedatangan kapal ini juga dijangka merangsang pembangunan lebih banyak produk pelayaran berskala besar di Malaysia, termasuk penambahan laluan baharu, peningkatan kapasiti terminal pelayaran dan peluasan kerjasama dengan syarikat pelayaran antarabangsa.
Dengan rekod baharu ini, Malaysia mengukuhkan posisinya dalam peta pelayaran dunia, sekali gus membuka ruang lebih besar untuk pelaburan, pertumbuhan ekonomi dan pembangunan industri pelayaran jangka panjang.
Majlis turut dihadiri barisan tetamu kehormat terdiri daripada pemimpin industri dan agensi kerajaan termasuk; Lee Thai Hung, Timbalan Ketua Pengarah (Promosi II), Tourism Malaysia, Chua Yee Ling, Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, Kenny Cheong Ken Lee, Pengarah Urusan Hwajing Travel & Tours, Ean Yong Hian Wah, Pengerusi Lembaga Pelabuhan Klang, Alvin Geoffrey Alphonso, Ketua Pegawai Eksekutif PKCT dan DDato’ Eddie Lee, Pengarah Urusan Kumpulan Westports Holdings Berhad.
