TR11_10102026_MESRA_RUN

Penganjuran sempena Hari Sukan Negara 2026 Peringkat Negeri Terengganu menggabungkan aktiviti larian, sukan rekreasi dan e-sukan bagi menggalakkan gaya hidup aktif serta kesejahteraan komuniti.

KUALA TERENGGANU – Mesra Mall berjaya menganjurkan Mesra Run 2.0 pada Sabtu, 10 Oktober 2026, dengan penyertaan seramai 2,000 peserta, sekali gus mencatat peningkatan dua kali ganda berbanding kira-kira 1,000 peserta pada edisi sulung tahun lalu.

Dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu (JBSNT), acara ini merupakan kemuncak sambutan Hari Sukan Negara (HSN) 2026 Peringkat Negeri Terengganu yang berlangsung selama tiga hari, dari 8 hingga 10 Oktober, di Mesra Mall.

Acara larian tersebut disempurnakan oleh Francis Tan, Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Suria KLCC Sdn Bhd, syarikat pengurusan Mesra Mall; Cik Aziam Muhammad, Pengurus Besar Mesra Mall; serta Tuan Haji Asmadi bin Mohamad, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu. Sementara itu, sambutan HSN 2026 Peringkat Negeri Terengganu dirasmikan oleh Datuk Abdul Kahar Abdul Latif, Pengarah Pembangunan Persekutuan Negeri Terengganu.

Mesra Run 2.0 menampilkan dua kategori utama, iaitu larian santai 5KM yang disertai 1,455 peserta dan kategori 10KM dengan 545 peserta, selain aktiviti Berjalan Ria Madani sejauh 3KM yang memberi peluang kepada keluarga untuk turut serta. Berbanding edisi sulung yang hanya menawarkan larian santai 5KM, penganjuran tahun ini memperluas pilihan penyertaan bagi menarik lebih ramai golongan masyarakat.

Bagaimanapun, mengambil kira keadaan jerebu pada hari acara, pihak penganjur mengambil langkah berjaga-jaga dengan memendekkan laluan kategori 10KM kepada 5KM bagi mengurangkan risiko kesihatan akibat kualiti udara yang kurang baik. Perubahan tersebut tidak menjejaskan struktur hadiah yang telah ditetapkan.

“Syukurlah, perubahan ini tidak banyak menjejaskan semangat orang ramai yang memenuhi seluruh kawasan luar Mesra Mall,” kata Aziam.

Beliau turut menyifatkan sambutan daripada peserta, penyokong dan JBSNT sebagai amat menggalakkan. Menurutnya, Mesra Run 2.0 juga meneruskan usaha Mesra Mall meningkatkan kesedaran tentang kesihatan mental dengan mengetengahkan kepentingan aktiviti fizikal sebagai salah satu faktor yang menyokong kesejahteraan mental.

Tambah beliau, penganjuran ini mencerminkan komitmen Mesra Mall untuk berkembang melangkaui peranannya sebagai destinasi membeli-belah, sebaliknya menjadi hab komuniti yang menyediakan ruang untuk keluarga menikmati aktiviti riadah, rekreasi dan gaya hidup sihat.

Selain acara larian, program tiga hari itu turut menawarkan pelbagai aktiviti sukan rekreasi, pertandingan kompetitif dan e-sukan. Sebanyak 14 acara sukan tambahan dianjurkan bagi menggalakkan penyertaan masyarakat dalam aktiviti fizikal, termasuk memanah dan badminton.

Antara aktiviti yang berlangsung ialah perlumbaan pushbike untuk kanak-kanak berusia tiga hingga tujuh tahun, bola jaring, woodball, bola sepak, badminton, memanah, dart, catur, bidas, boling tenpin, latihan sukan dron, pertandingan mewarna kanak-kanak serta Karnival Sukan Inspire OKU Aktif yang memberi tumpuan kepada penyertaan orang kurang upaya (OKU).

Menurut Aziam, kepelbagaian aktiviti tersebut membolehkan pengunjung daripada pelbagai peringkat umur dan latar belakang menyertai sambutan berkenaan, sekali gus memupuk minat terhadap sukan dan menggalakkan amalan hidup aktif dalam kehidupan seharian.

Dalam ucapannya, Datuk Abdul Kahar berkata penganjuran HSN bertujuan menyemai budaya bersukan dan menjadikan kecergasan sebagai sebahagian daripada rutin harian rakyat Terengganu.

“Kami mahu penyertaan dalam sukan terus meningkat dan gaya hidup aktif dapat dikekalkan pada setiap masa,” katanya.

Bertemakan “Sukan dan Teknologi Kecerdasan Buatan”, HSN 2026 turut memberi penekanan kepada penyertaan awam yang lebih inklusif, termasuk golongan warga emas dan OKU. Selaras dengan matlamat tersebut, Mesra Run 2.0 membuka ruang kepada kanak-kanak, warga emas dan OKU untuk mengambil bahagian melalui aktiviti serta pertandingan yang bersesuaian dengan pelbagai peringkat umur. Pameran berkaitan sukan, kesihatan mental dan gaya hidup sihat turut diadakan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat.

Francis Tan berkata Mesra Run merupakan sebahagian daripada agenda nasional untuk menggalakkan gaya hidup aktif, selain menjadi platform yang menghimpunkan komuniti setempat melalui aktiviti sukan dan rekreasi.

“Mesra Run merupakan sebahagian daripada agenda nasional, dan penganjurannya di Mesra Mall menyatukan masyarakat untuk membeli-belah, meluangkan masa bersama dan menjadi sebahagian daripada sambutan tiga hari ini, sekali gus menyumbang kepada ekonomi Terengganu secara keseluruhan.

“Kami memastikan setiap orang mempunyai tempat dalam acara ini, daripada kanak-kanak dan warga emas hingga OKU, kerana kami mahu menggalakkan tubuh badan yang sihat dan minda yang sihat untuk seluruh komuniti,” katanya.

Penganjuran Mesra Run 2.0 bukan sahaja memperkukuh usaha menggalakkan budaya bersukan dalam kalangan masyarakat, malah turut merancakkan aktiviti di Mesra Mall serta menyokong pertumbuhan ekonomi setempat melalui kehadiran peserta, keluarga dan pengunjung sepanjang program berlangsung.

Mesra Mall merakamkan penghargaan kepada Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu, para penaja, rakan kongsi serta seluruh komuniti atas sokongan dan kerjasama yang menjayakan Mesra Run 2.0 dan sambutan Hari Sukan Negara 2026 Peringkat Negeri Terengganu.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading