Samsung Electronics Co., Ltd. hari ini memperkenalkan visi “Companion to AI Living” pada acara The First Look, sempena CES® 2026 yang berlangsung di Latour Ballroom, Wynn Las Vegas. Acara ini menumpukan kepada AI sebagai teras falsafah Samsung, yang menjadi asas kepada penyelidikan dan pembangunan (R&D), pembangunan produk, operasi serta pengalaman pengguna syarikat itu.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Bahagian Device eXperience (DX) Samsung, TM Roh, membuka acara The First Look dengan menjelaskan kepimpinan Samsung dalam bidang AI dan bagaimana ekosistemnya yang luas, berhubung serta dipacu AI membolehkan syarikat menawarkan pengalaman AI companion sebenar dalam kehidupan seharian pengguna. Pendekatan ini membolehkan pengguna menikmati lebih daripada sekadar fungsi asas teknologi, sekali gus membuka ruang untuk mencipta detik yang lebih bermakna dalam kehidupan seharian.
“Samsung sedang membina pengalaman yang lebih bersatu dan lebih peribadi merentasi peranti mudah alih, paparan visual, peralatan rumah dan perkhidmatan,” kata TM Roh. “Dengan ekosistem berhubung global kami dan penerapan AI merentas kategori, Samsung menerajui usaha menawarkan pengalaman AI harian yang lebih bermakna.”
Companion Hiburan: Memperluas Pengalaman Melebihi Sekadar Menonton
Presiden dan Ketua Perniagaan Paparan Visual (VD) Samsung Electronics, SW Yong, bersama Sukhmani Mohta, Ketua Pegawai Pemasaran dan Perkongsian Perniagaan VD Samsung Electronics America, tampil ke pentas untuk menerangkan bagaimana paparan Samsung menggabungkan kecemerlangan perkakasan dan kecerdasan visual bagi menawarkan pengalaman companion hiburan sebenar. Berbekalkan lebih 20 tahun kepimpinan dalam industri TV, Samsung kini membangunkan rangkaian penuh TV AI yang menawarkan cara baharu untuk pengguna berinteraksi dengan televisyen mereka.
Teras utama barisan paparan ini ialah Micro RGB 130 inci, yang menandakan lonjakan besar dari segi skala dan kualiti gambar. Ia membuka era baharu warna dengan spektrum paling luas dan terperinci yang pernah diperkenalkan dalam TV Samsung. Reka bentuk Timeless Frame pula meminimumkan gangguan visual, membolehkan paparan menjadi fokus utama dengan sentuhan elegan. Sumber cahaya RGB bersaiz mikro memacu kualiti imej luar biasa, dengan setiap diod merah, hijau dan biru bersinar secara bebas bagi menghasilkan warna yang lebih semula jadi. Micro RGB AI Engine Pro membolehkan kawalan warna yang sangat tepat dan menghasilkan visual yang sangat jelas dalam setiap adegan.

Melengkapkan pengalaman tontonan generasi baharu ini ialah Vision AI Companion (VAC), yang menggunakan teknologi AI untuk berfungsi sebagai companion hiburan penuh bagi meningkatkan pengalaman menonton, menjamu selera dan mencipta suasana di seluruh rumah. Pengguna boleh menerima cadangan tentang apa yang hendak ditonton, dimakan atau muzik yang sesuai, menjadikan pengalaman TV lebih menyeluruh dan bukan sekadar tontonan biasa.
Samsung turut memperkenalkan mod intuitif untuk pengalaman tontonan yang diperibadikan. AI Soccer Mode Pro menawarkan pengalaman perlawanan bola sepak yang lebih mengujakan dengan pelarasan gambar dan bunyi bertaraf stadium menggunakan AI. AI Sound Controller Pro pula membolehkan pengguna melaras kelantangan sorakan penonton, ulasan pengulas atau muzik latar mengikut cita rasa. Melalui arahan suara, TV yang dilengkapi VAC – termasuk Micro LED, Micro RGB, OLED, Neo QLED, Mini LED dan UHD – akan melaksanakan permintaan secara kontekstual.
VAC juga meningkatkan pengalaman gaya hidup secara menyeluruh, membolehkan pengguna mencari resipi makanan yang dipaparkan di TV hanya dengan bertanya, serta memberi cadangan berdasarkan maklumat terkini yang selari dengan matlamat kesihatan dan kecergasan. Ia turut menyokong fungsi berbilang peranti dengan menghantar resipi ke peranti lain seperti The Movingstyle dan peralatan dapur, hasil integrasi penuh ekosistem.
Samsung mengekalkan kedudukan sebagai peneraju pasaran global soundbar selama 11 tahun berturut-turut. Tahun ini, syarikat memperkenalkan dua pembesar suara WiFi baharu, Music Studio 5 dan 7, bagi memperluas lagi ekosistem bersepadu. Reka bentuk titik ikonik oleh pereka terkenal Erwan Bouroullec menyerlahkan estetika moden yang selari dengan bahasa reka bentuk Samsung.
Antara produk baharu lain termasuk OLED S95H ultra-nipis dengan bezel halus berinspirasikan galeri seni, serta projektor mudah alih The Freestyle+, yang dipacu VAC dan membolehkan kandungan dipaparkan pada dinding, siling serta permukaan tidak rata.
Barisan TV 2026 menyokong HDR10+ ADVANCED, menawarkan kecerahan lebih baik, pengoptimuman berasaskan genre, pergerakan lebih lancar, pemetaan tona tempatan lanjutan serta pengalaman permainan yang dipertingkatkan. Samsung turut menjadi yang pertama melancarkan HDR10+ ADVANCED dan memperkenalkan Eclipsa Audio, sistem bunyi spatial baharu merentasi semua TV 2026. Semua inovasi ini dipacu oleh Tizen OS paling berkuasa, dengan sokongan naik taraf selama tujuh tahun.
Companion Rumah: Peralatan Pintar Berhubung Yang Membantu Kehidupan Harian
Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Bahagian Digital Appliances (DA), Cheolgi Kim, bersama Elizabeth Anderson, Ketua Pemasaran Bersepadu DA Samsung Electronics America, berkongsi visi untuk menjadikan peralatan rumah sebagai companion sebenar yang mengurangkan tekanan kerja harian. Sehingga Disember 2025, SmartThings kini mempunyai lebih 430 juta pengguna di seluruh dunia.

Visi ini direalisasikan melalui Family Hub, peti sejuk berasaskan AI yang dipertingkatkan dengan AI Vision dan Google Gemini. Sistem ini menjejaki barangan makanan dengan lebih tepat, memudahkan perancangan hidangan dan pengurusan stok. Family Hub telah memenangi 10 Anugerah Inovasi CES, manakala peti sejuk AI Samsung menerima anugerah tersebut selama tiga tahun berturut-turut.
Ciri “What’s for Today?” menawarkan cadangan resipi berdasarkan bahan sedia ada atau secara rawak, mengurangkan tekanan memilih menu. Resipi dipaparkan melalui SmartThings Food dengan panduan langkah demi langkah dan boleh dihantar terus ke peralatan memasak. Video to Recipe pula menukar video masakan kepada langkah mudah diikuti tanpa perlu menghentikan video.
Samsung turut memperkenalkan FoodNote, laporan mingguan corak pengambilan makanan, serta Now Brief dan Voice ID yang memaparkan kandungan diperibadikan mengikut ahli keluarga.
Dalam ruang dobi, Bespoke AI Laundry Combo menghapuskan keperluan memindahkan pakaian antara mesin basuh dan pengering. Bespoke AI AirDresser pula menampilkan Auto Wrinkle Care untuk melicinkan pakaian menggunakan udara dan wap.
Robot vakum Bespoke AI Jet Bot Steam Ultra mampu mengesan cecair dan memantau rumah ketika pengguna tiada, dengan sokongan Bixby yang lebih pintar. Peralatan Bespoke AI Samsung turut menerima Anugerah Inovasi CES.
Samsung juga bekerjasama dengan Hartford Steam Boiler (HSB) untuk membantu mengurangkan premium insurans melalui peralatan pintar yang berhubung dengan SmartThings.
Companion Penjagaan: Daripada Reaktif kepada Proaktif
Naib Presiden dan Ketua Kesihatan Digital Samsung Research America, Praveen Raja, memperkenalkan visi jangka panjang Samsung dalam penjagaan pintar berasaskan AI. Melalui ekosistem peranti bersepadu, Samsung menyasarkan pencegahan masalah kesihatan sebelum ia berlaku, termasuk bimbingan kesihatan peribadi, pengesanan awal penyakit dan perkongsian data kesihatan melalui platform Xealth.
Samsung turut memperluaskan penyelidikan dalam pengesanan awal demensia melalui peranti boleh pakai, dengan keselamatan data dipastikan melalui Samsung Knox dan Knox Matrix.
Zon Pameran Samsung di CES dibuka kepada orang ramai dari 4 hingga 7 Januari.
Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran awal, layari:
https://www.samsung.com/my/handraiserces
