Kuala Lumpur – Sempena kehadiran bulan Ramadan, Key Billions Sdn. Bhd. telah menganjurkan majlis berbuka puasa pada 2 Mac 2026 dalam suasana penuh kemeriahan dan keinsafan. Lebih istimewa, acara tersebut turut menyaksikan pelancaran rasmi filem terbaharu terbitan syarikat berkenaan berjudul Tiket Sehala.
Filem Berinspirasikan Kisah Benar
Filem arahan Rahila Ali ini mengetengahkan isu sindiket penipuan tawaran pekerjaan di luar negara satu jenayah yang semakin membimbangkan dan memberi kesan besar kepada rakyat Malaysia.
Menurut Rahila, Tiket Sehala diinspirasikan daripada kisah benar yang mencerminkan realiti pahit mangsa pemerdagangan manusia.

“Tiket Sehala adalah berinspirasikan daripada kisah benar yang merupakan masalah global. Ramai rakyat Malaysia sendiri terjebak dalam sindiket tersebut. Karya ini dihasilkan atas rasa tanggungjawab untuk menunjukkan kesan dan akibatnya kepada penonton apabila menjadi mangsa,” jelasnya.
Barisan Pelakon Empat Negara
Filem ini menampilkan gabungan pelakon dari empat negara iaitu Malaysia, Korea Selatan, Thailand dan Indonesia.
Antara pelakon tempatan yang membintangi filem ini termasuk:
- Noki K-Clique
- Jaa Suzuran
- Ainee Mustafa
- Zaki Yamani
- Sharifah Sakinah
- Hasnul Rahmat
- Sheila Mambo
- Ardell Aryana
- Fancy Goh
- Shaharudin Jamaludin
Turut menjayakan filem ini ialah pelakon antarabangsa seperti Hyunjun Sun dari Korea Selatan, Ninja SuperThai dari Thailand dan Naufal Samudra dari Indonesia.
Menariknya, penggambaran Tiket Sehala turut dijalankan di Korea Selatan dengan gabungan kru produksi dari Malaysia dan negara berkenaan. Menurut Pengasas Key Billions, Eddie Yap, kerjasama tersebut memberi pendedahan dan pengalaman baharu kepada tenaga produksi tempatan.

“Dengan gabungan tersebut, sekurang-kurangnya memberikan pengalaman kepada kru produksi Malaysia untuk mempelajari sesuatu yang baharu daripada pihak luar agar dapat meningkatkan lagi kualiti filem tempatan pada masa akan datang,” katanya.
Sinopsis Ringkas
Tiket Sehala membawa penonton menyusuri kisah gelap sekumpulan pekerja warga Malaysia yang terperangkap dalam sistem pemerdagangan manusia yang kejam di Korea Selatan.
Alif, Putri dan Taqy menjadi mangsa sindiket yang mengambil kesempatan atas keterdesakan hidup, seterusnya memperlihatkan realiti pahit perjuangan untuk membebaskan diri daripada eksploitasi dan penindasan.
Dalam perkembangan sama, Key Billions Distribution turut diumumkan secara rasmi sebagai cabang baharu syarikat tersebut.

Menurut Eddie Yap, penubuhan entiti pengedaran ini bertujuan menguruskan sepenuhnya aspek promosi dan tayangan filem terbitan mereka sendiri serta karya penerbit lain.
Sebelum ini, filem Soloz: Game of Life yang diterbitkan oleh Key Billions telah diedarkan oleh pihak lain. Namun, bermula dengan Tiket Sehala, segala urusan pengedaran akan dikendalikan sepenuhnya oleh Key Billions Distribution.
Selain itu, mereka turut memperoleh hak pengedaran untuk dua filem lain iaitu Gayong 2 dan Tarung Unforgiven yang bakal menemui penonton di pawagam tidak lama lagi.
“Penubuhan Key Billions Distribution menjadi penanda aras bahawa kami serius dalam membangunkan industri perfileman. Kami juga mengalu-alukan mana-mana penerbit yang mahu menggunakan khidmat kami,” jelasnya lagi.
Persembahan Istimewa Shadow Combat League
Majlis turut dimeriahkan dengan persembahan robot eksklusif di bawah kelolaan Shadow Combat League.

Shadow Combat League merupakan kategori hiburan sukan baharu yang menggabungkan elemen sukan tempur tradisional, permainan, teknologi serta hiburan digital. Ia dikuasakan oleh teknologi Virtuals dan dibina di atas rangkaian blockchain Base, sekali gus memperkenalkan pendekatan inovatif dalam dunia sukan tempur moden.
Pelancaran Tiket Sehala bukan sahaja menjadi simbol kesungguhan Key Billions dalam menghasilkan karya berkualiti, malah membuktikan komitmen mereka dalam membawa isu-isu sosial yang relevan ke layar perak. Filem ini diharap mampu membuka mata masyarakat agar lebih berhati-hati terhadap tawaran pekerjaan luar negara yang meragukan.
