Kuala Lumpur – Penyanyi dan komposer terkenal, Zul 2 By 2 atau nama penuhnya Zulkefli Majid, 54, tampil dengan karya terbaharu sempena Aidilfitri menerusi lagu raya berjudul Raya Kita Punya.
Mengulas lanjut mengenai lagu ciptaan bersama Madi Mulyadi itu, Zul memaklumkan bahawa karya berkenaan merupakan single kedua di bawah syarikat rakaman Fiz Star Empire.
Lagu berkenaan mengetengahkan mesej kebersamaan, semangat kekeluargaan dan nilai kesyukuran yang menjadi teras sambutan Hari Raya Aidilfitri. Dengan susunan melodi yang segar serta lirik yang mudah dihayati, “Raya Kita Punya” dihasilkan sebagai lagu yang sesuai dan diharap mendapat sambutan tahun ini.

“Tahun ini kita dihidangkan dengan pelbagai lagu raya baru, ada yang mendapat pujian tak kurang juga mendapat kritikan, tetapi kita raikan pendapat pendengar dan juga lagu itu sendiri.
“Idea penghasilan lagu ini tercetus daripada keinginan untuk menghadirkan karya raya yang mampu menyatukan semua tanpa mengira latar belakang. Lagu raya juga simbol kegembiraan bersama selari dengan maksud judulnya, yang menggambarkan suasana raya milik semua” katanya dalam sidang media di Hotel Royal Signature disini.
Jelasnya, dari segi komposisi, “Raya Kita Punya” menggabungkan elemen tradisional dan moden, menjadikannya dekat dengan citarasa generasi lama serta baharu. Irama rancak yang diselitkan dengan sentuhan klasik Aidilfitri menjadikan lagu ini sesuai diputarkan di rumah terbuka, di corong radio mahupun di platform digital.
Pelancaran lagu ini juga dilihat sebagai usaha berterusan Zul dalam memperkaya khazanah lagu raya tempatan, sekali gus memberi pilihan baharu kepada peminat muzik tanah air menjelang Syawal.

“Lagu ini menampilkan enam penyanyi termasuk saya sendiri. Keistimewaannya, kami selitkan loghat Perak selain gabungan elemen rap, dangdut dan joget.
“Orang kata, biarlah meriah dalam satu lagu. Barulah benar-benar menceriakan suasana hari raya.
Lagu Raya Kita Punya turut menampilkan barisan selebriti dan personaliti popular seperti Maya The Girls, Chef Shah World, Madam Liza, Nadia Rozi dan Sifu Dr Rayyan.
Sementara itu, Bonda Puteri Ryana selaku penerbit percaya Lagu Raya Kita Punya mempunyai keunikan tersendiri dan berpotensi menarik minat pendengar menjelang Aidilfitri.
“Lagu ini sangat ‘catchy’ dan mudah melekat di telinga walaupun baru dengar kali pertama. Saya sendiri cepat jatuh cinta dengan lagu ini dan berharap pendengar juga merasai perkara yang sama” ujarnya.
Dengan gabungan muzik moden, elemen tradisional dan loghat tempatan, “Raya Kita Punya” dijangka menjadi antara lagu raya pilihan ramai pada tahun ini, memberikan kegembiraan kepada semua lapisan masyarakat sempena musim perayaan.
