Kuala Lumpur – TV AlHijrah membawakan drama bersiri terbaru, Luka Dalam Rindu, yang disiarkan setiap Sabtu dan Ahad, jam 6 petang. Luka Dalam Rindu adalah sebuah drama emosi kekeluargaan yang menyentuh tentang dosa, taubat, dendam dan pengorbanan seorang ayah yang tidak pernah berhenti menyayangi anaknya walaupun dibenci.
Drama bersiri 8 episod terbitan Mache All Star United Sdn Bhd, arahan Pali Yahya dan skrip oleh K. Adlie ini membawa penonton menelusuri kisah kekeluargaan yang sarat emosi tentang pengorbanan seorang ayah, dendam seorang anak dan kemaafan yang hadir terlalu lewat.

Luka Dalam Rindu menampilkan Harun Hashim sebagai Zamarul, seorang ayah tunggal yang kehilangan isterinya Mastura dalam tragedi lemas ketika menyelamatkan anak mereka, Suci. Sejak peristiwa itu, Zamarul membesarkan Suci dengan penuh disiplin demi menunaikan amanah arwah isterinya. Namun ketegasan yang lahir daripada kasih sayang itu disalah tafsir oleh Suci sebagai kongkongan, lalu mewujudkan jurang yang semakin melebar antara ayah dan anak.
Watak Suci yang dilakonkan oleh Hanna Faresha membesar dalam rasa tertekan dan memberontak terhadap ayahnya sendiri. Dia memilih untuk berkahwin dengan Hisyam lakonan Aqasha walaupun tanpa restu sepenuhnya daripada Zamarul. Perkahwinan yang diharapkan membawa kebahagiaan akhirnya bertukar menjadi ujian apabila sikap Hisyam yang tidak matang dan tidak bertanggungjawab mula memberi kesan kepada kehidupan mereka.
Tragedi besar berlaku apabila kemalangan jalan raya meragut nyawa anak mereka, Hakim. Dalam kejadian tersebut, Zamarul dipersalahkan sehingga dijatuhi hukuman penjara. Kehilangan anak membuatkan Suci menanam kebencian mendalam terhadap ayahnya dan memutuskan hubungan sepenuhnya.

Di penjara, Zamarul mendekatkan diri kepada Allah dan membimbing banduan lain melalui seni khat. Di situlah beliau bertemu Mail, seorang banduan muda yang berubah hasil didikan dan kasih sayangnya. Tanpa disedari, takdir mempertemukan mereka dalam hubungan sebenar apabila terbongkar bahawa Mail adalah anak kandung Zamarul daripada perkahwinan pertama yang tidak pernah diketahuinya.
Selepas dibebaskan, Zamarul pulang dengan satu harapan iaitu ingin mendengar sendiri kemaafan daripada Suci sebelum menutup mata. Namun kepulangannya terus ditolak. Dalam diam, kasih seorang ayah tetap utuh. Apabila Hisyam disahkan mengalami kegagalan buah pinggang, Zamarul sanggup menderma organ demi memastikan Suci tidak kehilangan suami walaupun kesihatannya sendiri semakin merosot.
Kebenaran akhirnya terbongkar apabila diketahui bahawa kemalangan yang meragut nyawa Hakim sebenarnya berpunca daripada kecuaian Hisyam sendiri. Zamarul juga adalah penderma buah pinggang yang menyelamatkan nyawanya. Namun segalanya sudah terlambat. Sebelum sempat menerima kemaafan daripada anak yang amat dirinduinya, Zamarul menghembuskan nafas terakhir dalam keadaan reda.


Di penghujung kisah, Suci akhirnya menyedari bahawa kasih seorang ayah tidak pernah padam walau dihukum dan disingkirkan. Mail pula menerima tanggungjawab sebagai abang kandung Suci dan meneruskan amanah arwah ayah mereka. Luka Dalam Rindu adalah sebuah naskhah yang menyentuh hati tentang nilai pengorbanan, taubat dan kemaafan serta kasih seorang ayah tidak pernah mati walau dihukum, dihina dan dibenci. Namun tidak semua kemaafan datang tepat pada waktunya.

Jadi, jangan lepaskan peluang menyaksikan Luka Dalam Rindu setiap Sabtu dan Ahad, jam 6 petang di TV AlHijrah.
