KUALA LUMPUR – Karya animasi klasik The Lion King bakal dihidupkan semula dalam bentuk yang lebih epik apabila ia dipersembahkan secara langsung menerusi konsert orkestra istimewa di ibu negara.
Dijadual berlangsung pada 13 Jun 2026 di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, acara “The Lion King Live in Concert” menjanjikan pengalaman sinematik yang luar biasa dengan gabungan tayangan filem dan persembahan muzik secara langsung.
Gabungan Filem dan Muzik Secara Langsung
Apa yang membezakan konsert ini daripada pengalaman menonton biasa ialah kehadiran orkestra secara langsung yang akan memainkan skor muzik seiring dengan tayangan filem. Seramai 72 pemuzik daripada National Symphony Orchestra Malaysia akan terlibat dalam persembahan ini, menjadikannya antara produksi berskala besar di Malaysia.
Penonton bukan sahaja dapat menikmati jalan cerita yang menyentuh emosi, tetapi juga menyaksikan sendiri bagaimana muzik ikonik filem tersebut dihidupkan di atas pentas secara real-time.

Sementara itu, Pengarah Urusan Milestone Production Datuk Grace Lee berkata pihaknya mengambil masa hampir dua tahun berunding dengan Disney untuk memperoleh hak mempersembahkan konsert tersebut di Malaysia.
“Kami mahu membawakan sesuatu yang berbeza dan bertaraf dunia ke Malaysia, khususnya bagi menarik pelancong yang datang secara keluarga, bukan hanya domestik tetapi juga dari rantau ini.
“Konsert ini juga istimewa kerana ia meraikan ulang tahun ke-30 The Lion King, membolehkan penonton berbilang generasi termasuk kanak-kanak, malah datuk dan nenek, datang menyaksikan persembahan ini,” katanya, menambah lebih 50 peratus tiket telah dijual sejak juala dibuka dua minggu lalu.
Bagi memastikan kualiti persembahan setanding produksi antarabangsa, pihak Disney turut menghantar pakar teknikal untuk membimbing pemuzik tempatan. Proses latihan juga melibatkan penggunaan skor muzik asal dari Amerika Syarikat serta pematuhan garis panduan ketat yang ditetapkan.
Langkah ini penting bagi memastikan setiap nota muzik selari dengan visual filem, sekali gus memberikan pengalaman yang benar-benar imersif kepada penonton.
Konsert ini bakal menampilkan lagu-lagu terkenal seperti “Circle of Life”, “Hakuna Matata” dan “Can You Feel the Love Tonight”, yang menjadi nadi kepada kejayaan filem tersebut sejak ditayangkan pada tahun 1994.

Skor muziknya yang digubah oleh Hans Zimmer serta lagu ciptaan Elton John dan Tim Rice telah memenangi pelbagai anugerah dan terus kekal relevan hingga hari ini.
Penganjuran konsert ini bukan sahaja membawa pengalaman hiburan bertaraf dunia ke Malaysia, malah turut menyokong usaha mempromosikan negara sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
Ia juga membuka peluang kepada penonton pelbagai generasi daripada kanak-kanak hingga dewasa untuk menikmati karya klasik ini dalam dimensi yang lebih mendalam dan berbeza.
Sejak jualan tiket dibuka, sambutan yang diterima amat menggalakkan dengan lebih separuh tiket telah habis dijual dalam tempoh singkat.

Harga tiket ditawarkan dalam pelbagai kategori, menjadikan acara ini lebih mudah diakses oleh peminat muzik dan filem.
“The Lion King Live in Concert” bukan sekadar sebuah konsert, tetapi satu pengalaman seni yang menggabungkan visual dan audio secara harmoni. Ia membuktikan bahawa karya klasik mampu terus diberi nafas baharu melalui pendekatan kreatif, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi hiburan bertaraf antarabangsa.
