WhatsApp Image 2026-05-11 at 11.41.02

Petaling Jaya – Program All Star Influencers Award 2026 (ASIA 2026) bakal menjadi platform utama menghimpunkan pempengaruh digital antarabangsa dalam usaha memperkukuh promosi Malaysia sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).

Program itu dijangka menghimpunkan pempengaruh media sosial dari pelbagai lebih 20 buah negara bagi menghasilkan kandungan kreatif berkaitan pelancongan, budaya, gaya hidup dan destinasi menarik di seluruh negara untuk dipromosikan kepada audiens global menerusi platform digital utama.

Ketua Pegawai Eksekutif ASIA, Datuk Abd Rahman Soltan berkata, penganjuran ASIA2026 membawa misi besar dalam memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab pelancongan serta industri kreatif digital di rantau Asia.

Menurut beliau, ASIA2026 kini bukan sekadar sebuah malam anugerah semata-mata, sebaliknya berkembang sebagai platform global yang menghubungkan elemen pelancongan, kandungan digital, budaya dan komuniti kreatif di peringkat antarabangsa.

Jelasnya, ASIA2026 membawa visi sebagai jambatan yang menghubungkan dunia digital dengan sektor pelancongan, selari dengan perkembangan pengaruh media sosial yang kini memainkan peranan penting dalam menentukan trend pelancongan global.

“Kandungan yang dihasilkan pencipta digital berupaya memberi inspirasi kepada jutaan pengguna media sosial untuk mengenali negara, budaya serta destinasi baharu di seluruh dunia.

“Dengan penglibatan pempengaruh ini, ia mampu menghasilkan liputan organik yang lebih meluas dan berimpak tinggi.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Sesi Sidang Media Rasmi ASIA 2026 yang berlangsung di Kota Damansara, Petaling Jaya disini.

Program ini dianjurkan dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Tourism Malaysia. Ia selari dengan aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) melalui pendekatan promosi digital moden. Sokongan ini memastikan impak jangka panjang kepada industri pelancongan negara.

Kerjasama strategik menerusi Visit Malaysia 2026 dijangka mampu memperkukuh momentum kempen pelancongan negara sekali gus meningkatkan keyakinan pelancong antarabangsa terhadap Malaysia sebagai destinasi pilihan utama di rantau ini.

Malaysia dilihat memiliki keunikan tersendiri menerusi kepelbagaian budaya, makanan, khazanah alam semula jadi, pulau-pulau menarik, pembangunan bandar moden serta pengalaman komuniti autentik yang menjadi tarikan kepada pelancong luar negara. Kesemua elemen itu akan diketengahkan secara kreatif sepanjang siri jelajah program berkenaan.

Sepanjang tempoh tujuh bulan, delegasi pempengaruh antarabangsa dijadual menjelajah beberapa negeri termasuk Johor, Negeri Sembilan, Perak, Kuala Lumpur, Terengganu, Pahang, Sabah, Pulau Pinang, Kedah dan Melaka.

Setiap destinasi akan menampilkan pengalaman unik merangkumi sektor pelancongan, budaya, warisan, makanan tradisional, gaya hidup tempatan, seni kreatif serta lokasi ikonik yang menjadi identiti tersendiri setiap negeri.

Malam kemuncak ASIA 2026 dijadualkan pada November 2026 sebagai acara eksklusif antarabangsa. Ia menghimpunkan pempengaruh, selebriti digital, pemain industri kreatif dan agensi pelancongan. Acara ini menjadi simbol penghargaan kepada pencipta kandungan yang memberi impak besar dalam promosi pelancongan dan budaya.

Pemenang utama ASIA 2026 bakal membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak AS$10,000 (kira-kira RM47,000) bersama pakej percutian eksklusif ke Dubai. Namun begitu, keputusan akhir bagi pakej percutian tersebut tertakluk kepada situasi semasa berikutan krisis geopolitik di Timur Tengah.

Dari segi pencapaian terdahulu, ASIA 2025 merekodkan lebih 1.6 bilion capaian digital menerusi hashtag #AllStarInfluencersAward2025. Manakala ASIA 2024 pula mencatat 518 juta capaian, dan ASIA 2023 merekodkan 205 juta tontonan. Pertumbuhan ini jelas menunjukkan peningkatan ketara dalam kekuatan pengaruh digital dari tahun ke tahun.

Dengan gabungan hampir satu bilion pengikut keseluruhan pempengaruh yang terlibat, ASIA2026 dijangka mencipta pencapaian baharu serta berpotensi menjadi platform promosi pelancongan digital terbesar di Asia Tenggara. Inisiatif ini juga dilihat mampu memberi manfaat ekonomi serta meningkatkan pengiktirafan global kepada Malaysia.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading