DSC08869

Kuala Lumpur kini bersedia melakar sejarah baharu dalam industri hiburan serantau menerusi penganjuran KL Headline Season 2026, sebuah inisiatif mega yang bakal menghimpunkan 25 persembahan artis antarabangsa sepanjang tahun depan. Program ini dilihat sebagai langkah strategik untuk mengangkat ibu negara Malaysia sebagai antara destinasi utama jelajah muzik global di Asia.

Diterajui oleh Live Nation Malaysia dengan kerjasama Tourism Malaysia, PR Worldwide dan CelcomDigi, KL Headline Season 2026 dijangka menarik lebih 500,000 peminat muzik dari Malaysia dan negara jiran sekali gus memberi impak besar kepada sektor pelancongan, hospitaliti dan ekonomi tempatan.

Antara artis antarabangsa yang dijadualkan membuat persembahan termasuk LANY, Laufey, Bryan Adams, DAY6, TREASURE dan Daniel Caesar. Lebih menarik, persembahan berskala stadium membabitkan nama besar seperti Post Malone, The Weeknd dan BTS turut dijadual berlangsung di Kuala Lumpur.

Pengarah Urusan Live Nation Malaysia, Paramananthan Rajagopal berkata, perubahan landskap hiburan tempatan membuktikan Kuala Lumpur semakin diyakini sebagai lokasi strategik untuk penganjuran konsert antarabangsa berskala besar. Menurut beliau, peminat muzik kini tidak lagi perlu terbang ke negara luar semata-mata untuk menyaksikan persembahan artis dunia kerana Kuala Lumpur sendiri sudah menjadi destinasi utama dalam kalendar jelajah global.

Inisiatif ini juga selari dengan aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026 yang menyasarkan kemasukan 47 juta pelancong antarabangsa menerusi penawaran pengalaman gaya hidup dan hiburan premium. Selain mengukuhkan imej Kuala Lumpur sebagai kota hiburan moden, musim konsert ini dijangka memberi limpahan ekonomi kepada sektor hotel, penerbangan, makanan dan peruncitan tempatan.

KL Headline Season 2026 secara tidak langsung menandakan perubahan besar dalam landskap hiburan negara apabila Kuala Lumpur kini dilihat semakin setanding dengan kota muzik utama Asia seperti Seoul, Tokyo dan Bangkok dalam menarik perhatian penganjur konsert bertaraf dunia.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading