Untitled

Syarikat animasi dan harta intelek (IP) tempatan, MONSTA Studios, sekali lagi mengharumkan nama Malaysia apabila dipilih sebagai salah satu daripada 33 finalis bagi Anugerah Global WIPO 2026 anjuran Pertubuhan Harta Intelek Sedunia (WIPO). Pengiktirafan itu meletakkan MONSTA sebaris dengan syarikat kreatif dan inovatif dari seluruh dunia selepas berjaya menonjol dalam lebih 1,300 penyertaan melibatkan 126 negara.

Anugerah berprestij tersebut memberi pengiktirafan kepada syarikat pemula dan perusahaan kecil serta sederhana (PKS) yang berjaya memanfaatkan strategi harta intelek secara kreatif dan inovatif untuk mengembangkan perniagaan sambil menyumbang kepada Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Menurut MONSTA Studios, pemilihan finalis dibuat berdasarkan kekuatan model perniagaan, portfolio IP, strategi pengkomersialan harta intelek, budaya IP dalaman serta potensi impak sosial yang selari dengan SDG. Pendekatan strategik syarikat dalam membangunkan ekosistem kreatif turut membantu MONSTA berkembang daripada studio animasi tempatan kepada pembangun IP yang menggabungkan elemen penceritaan, teknologi, pemasaran dan perdagangan dalam satu platform menyeluruh.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif MONSTA Studios, Nizam Abd Razak berkata syarikat itu sentiasa memberi fokus terhadap pembangunan kreativiti serta kualiti setiap IP yang dihasilkan, selain memastikan perlindungan kukuh terhadap aset utama syarikat. Beliau turut menegaskan bahawa kepelbagaian IP amat penting kerana setiap IP mempunyai potensi besar untuk berkembang ke pelbagai cabang industri.

Sementara itu, Pengarah Program Anugerah WIPO, Marcelo Di Pietro turut mengucapkan tahniah kepada MONSTA Studios atas kejayaan mara ke peringkat finalis. Beliau menyifatkan strategi IP yang kukuh mampu menjadi aset penting dalam memacu pertumbuhan syarikat di peringkat global.

Sebagai finalis, MONSTA Studios akan menyertai komuniti alumni Anugerah Global WIPO dan menerima akses kepada pelbagai peluang termasuk sesi padanan pelabur, program pemecut perniagaan, perkongsian bersama pakar industri serta jemputan ke acara strategik berkaitan perniagaan dan IP antarabangsa.

Sebanyak 11 pemenang utama Anugerah Global WIPO 2026 dijadual diumumkan pada 10 Julai ini di Geneva sempena Perhimpunan WIPO. MONSTA Studios sebelum ini dikenali menerusi pelbagai kandungan animasi popular tempatan termasuk penerbitan filem, siri televisyen serta produk berasaskan IP yang menyasarkan penonton kanak-kanak dan keluarga.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading