486888-696x363

Kuala Lumpur – Rakyat Malaysia bakal menikmati pembelian diesel bersubsidi yang lebih tersasar dan seragam di seluruh negara menerusi penggunaan MyKad bermula Julai ini.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan memaklumkan, pelaksanaan itu bagi memastikan bantuan hanya dinikmati golongan yang layak selain mengurangkan ketirisan dan aktiviti penyeludupan diesel bersubsidi.

Menerusi mekanisme baharu itu, rakyat Malaysia akan menikmati harga diesel bersubsidi RM2.10 seliter.

Manakala bukan warganegara dan pihak yang tidak layak perlu membeli bahan api berkenaan pada harga tanpa subsidi.

“Pendekatan berasaskan MyKad tersebut selaras dengan pelaksanaan program BUDI MADANI RON95 yang memberi penekanan kepada penyaluran subsidi secara lebih bersasar.

“Melalui pembaharuan ini, rakyat Malaysia akan menikmati harga yang sama dan cara yang sama di seluruh negara.

“Subsidi diesel akan disalurkan terus kepada rakyat Malaysia melalui pengesahan MyKad, manakala bukan warganegara dan pihak yang tidak layak perlu membeli diesel pada harga tanpa subsidi,” menurut kenyataan itu pada Ahad.

Menurut kementerian itu, perbezaan ketara antara harga diesel bersubsidi dan harga pasaran sebelum ini telah membuka ruang kepada penyalahgunaan termasuk penyeludupan ke luar negara.

Di Sabah dan Sarawak, harga diesel bersubsidi ketika ini adalah RM2.15 seliter berbanding harga tanpa subsidi RM4.37 seliter di Semenanjung.

“Menerusi pelaksanaan baharu itu, rakyat Malaysia yang memiliki kenderaan diesel di kedua-dua negeri berkenaan akan menikmati pengurangan harga kepada RM2.10 seliter,” katanya.

Butiran lanjut mengenai pelaksanaan pembaharuan penyasaran subsidi diesel itu akan diumumkan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pada Isnin.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading