SIGNING CEREMONY OF JOINT VENTURE AGREEMENT BETWEEN WANLI TIRE CO., LTD AND BERJAYA PROPERTY BERHAD

Berjaya Property Berhad (dahulunya dikenali sebagai Berjaya Land Berhad) (“Berjaya Property”) hari ini mengumumkan pemeteraian Perjanjian Usaha Sama (JVA) bersejarah antara anak syarikat milik penuhnya, Alam Baiduri Sdn. Bhd. (ABSB), dan Trusmax Investment Co., Ltd. (Trusmax), anak syarikat milik penuh Wanli Tire Co., Ltd. (Wanli Tire), salah sebuah pengeluar tayar terkemuka dari China.

Perjanjian tersebut menandakan permulaan kerjasama strategik bagi membangunkan sebuah kemudahan pembuatan tayar berprestasi tinggi bertaraf dunia di Malaysia dengan nilai pelaburan keseluruhan dianggarkan sebanyak AS$320 juta.

Majlis pemeteraian disaksikan oleh Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Yang Berhormat Tuan Sim Tze Tzin; Duta Besar Luar Biasa dan Mutlak Republik Rakyat China ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Ouyang Yujing; Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Selangor bagi Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti, Yang Berhormat Tuan Ng Sze Han; serta tetamu kehormat dari Malaysia dan Republik Rakyat China, termasuk pegawai kanan kerajaan, wakil kor diplomatik, pemimpin industri dan komuniti perniagaan.

Di bawah JVA tersebut, ABSB dan Trusmax akan bersama-sama membangunkan Pangkalan Pengeluaran Tayar Getah Hijau Berprestasi Tinggi di atas tanah seluas kira-kira 67.9 ekar di Bukit Tagar, Selangor. Projek itu akan merangkumi 16 kemudahan industri dan sokongan yang dibina khas dengan keluasan pembinaan melebihi 62.5 ekar.

Apabila beroperasi sepenuhnya, kilang tersebut dijangka mampu menghasilkan 1.2 juta tayar Truck and Bus Radial (TBR) serta 5 juta tayar Passenger Car Radial (PCR) setiap tahun, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab strategik pembuatan dan eksport dalam rangkaian pengeluaran global Wanli Tire.

Projek berkenaan dijangka mewujudkan lebih daripada 1,000 peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia di samping menyokong pembangunan bakat menerusi program latihan tenaga kerja dan peningkatan kemahiran. Pelaburan ini juga dijangka memberi impak positif terhadap pemindahan teknologi, pembangunan industri, pertumbuhan eksport serta memperkukuh ekosistem pembuatan negara.

Pengasas dan Penasihat Berjaya Corporation Berhad, Tan Sri Dato’ Seri Vincent Tan Chee Yioun berkata, pihaknya berbangga dapat bekerjasama dengan Wanli Tire, anak syarikat Guangzhou Industrial Investment Holding Group yang disegani di peringkat global.

“Pelaburan ini mencerminkan keyakinan syarikat antarabangsa terhadap asas ekonomi Malaysia yang kukuh, lokasi strategik serta potensi pertumbuhan negara. Kami juga ingin merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Malaysia atas usaha berterusan mewujudkan persekitaran perniagaan yang kondusif bagi menarik pelaburan berkualiti dan meningkatkan daya saing negara. Kami yakin kerjasama ini akan membuka lebih banyak peluang ekonomi, mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi dan memberikan nilai jangka panjang kepada kedua-dua negara,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi merangkap Pengurus Besar Guangzhou Industrial Investment Holding Group, Wang Fuzhu berkata, kerjasama tersebut merupakan langkah penting dalam strategi pengembangan kumpulan itu ke rantau ASEAN.

Menurut beliau, Malaysia sebagai antara negara teras ASEAN memiliki ekosistem industri yang matang serta rangkaian logistik maritim yang cemerlang, sekali gus menjadikannya lokasi strategik untuk memperkukuh kehadiran syarikat di Asia Tenggara sebelum menembusi pasaran global.

Katanya, kedua-dua pihak akan menggabungkan kepakaran dalam teknologi tayar tenaga hijau, elektronik automotif serta pelbagai bidang lain dengan sumber tempatan dan rangkaian pasaran Berjaya bagi membentuk rantaian industri dan bekalan rentas sempadan yang lebih berdaya tahan, saling melengkapi dan fleksibel.

Beliau berkata, kerjasama itu bukan sahaja menjadi pemacu baharu kepada pertumbuhan operasi luar negara Guangzhou Industrial Investment Holding Group dalam usaha membangunkan kluster alat ganti automotif bernilai RMB100 bilion, malah merupakan pendekatan menang-menang untuk kedua-dua pihak memanfaatkan peluang transformasi industri global.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Berjaya Property, Syed Ali Shahul Hameed pula berkata, pihaknya teruja memulakan kerjasama strategik bersama Wanli Tire dan yakin gabungan kekuatan kedua-dua organisasi akan membawa kejayaan kepada projek berkenaan.

Menurut beliau, pengalaman luas Berjaya dalam pelbagai sektor, keupayaan pembangunan, rangkaian perniagaan serta rekod prestasi yang kukuh akan melengkapkan kepakaran pembuatan bertaraf dunia dan kepimpinan teknologi Wanli Tire.

“Kami percaya kerjasama ini akan memacu pertumbuhan mampan, mempercepat pemindahan pengetahuan serta mewujudkan nilai jangka panjang kepada semua pihak berkepentingan dan ekonomi negara,” katanya.

Pengerusi Wanli Tire merangkap Timbalan Pengurus Besar Guangzhou Industrial Investment Holding Group, Cao Xiandong berkata, kerjasama dengan Kumpulan Berjaya memberikan keyakinan tinggi terhadap pembangunan pangkalan pembuatan syarikat itu di Malaysia.

Beliau berkata, sejak rundingan awal sehingga pemeteraian perjanjian, pihaknya menerima sokongan padu daripada pelbagai pihak di Malaysia dan China, sekali gus mengukuhkan komitmen jangka panjang syarikat untuk terus berkembang di Malaysia.

Menurutnya, kerjasama rentas sempadan hanya dapat berkembang melalui manfaat bersama dan sinergi industri yang kukuh. Justeru, Wanli Tire akan terus memperkukuh operasi tempatan dengan sasaran membangunkan sebuah kilang utama bertaraf dunia yang bersedia menghadapi cabaran masa depan.

Pemeteraian JVA ini menandakan permulaan kerjasama strategik jangka panjang antara Berjaya Property dan Wanli Tire yang berteraskan inovasi, pertumbuhan mampan dan kejayaan bersama. Dengan menggabungkan kekuatan, kepakaran serta sumber masing-masing, kedua-dua syarikat diyakini mampu menjana nilai ekonomi yang signifikan, memacu pembangunan industri serta mengukuhkan hubungan perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dan Republik Rakyat China.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading