KUALA LUMPUR – R Pharmacy terus memperluaskan rangkaian perniagaannya apabila membuka cawangan ke-28 di Sunway Velocity Mall, sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai antara peruncit farmasi dan kesejahteraan yang memberi tumpuan kepada produk tempatan.
Pembukaan cawangan terbaharu itu merupakan sebahagian daripada pelan pengembangan jangka panjang R Pharmacy yang menyasarkan sebanyak 50 cawangan di seluruh negara menjelang 2029.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif R Pharmacy, Adrian Toh, perkembangan berkenaan bukan sekadar usaha memperluaskan rangkaian peruncitan, malah turut menjadi platform untuk membantu lebih banyak jenama Malaysia mendapatkan akses kepada pengguna.
Beliau berkata, R Pharmacy percaya produk kesihatan dan kesejahteraan keluaran tempatan mempunyai potensi untuk bersaing dengan jenama antarabangsa dari aspek kualiti, inovasi dan kerelevanan kepada keperluan pengguna.

R Pharmacy diasaskan atas kepercayaan bahawa rakyat Malaysia mampu menghasilkan penyelesaian kesihatan dan kesejahteraan yang relevan, inovatif serta berkualiti.
“Dengan pembukaan cawangan ke-28, misi kami bukan sahaja untuk memperluaskan rangkaian peruncitan, tetapi juga memperkukuh peranan kami dalam mengetengahkan jenama tempatan Malaysia,” katanya.
Perkukuh ekosistem produk tempatan
Usaha R Pharmacy itu turut dilihat selari dengan perkembangan sektor farmaseutikal dan penjagaan kesihatan domestik, termasuk aspirasi kerajaan untuk memperkukuh keupayaan industri tempatan.
Berdasarkan data Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Malaysia merekodkan pelaburan farmaseutikal diluluskan sebanyak RM724.8 juta menerusi 15 projek pada 2025.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 96.6 peratus disumbangkan pelabur domestik, manakala projek berkenaan dijangka mewujudkan 872 peluang pekerjaan.
Dalam perkembangan sama, R Pharmacy turut mengumumkan kerjasama peruncitan strategik dengan jenama kesihatan Malaysia, Tigrox.
Menerusi kerjasama itu, produk Wellous, Tigrox Tiger Milk King, kini boleh didapati di semua cawangan R Pharmacy di seluruh negara.
Kerjasama berkenaan dijangka memberikan ruang lebih luas kepada produk tempatan untuk mendapatkan pendedahan, sekali gus memudahkan pengguna mendapatkan produk keluaran Malaysia melalui rangkaian peruncitan yang lebih meluas.
Adrian turut menzahirkan penghargaan terhadap sokongan Tourism Malaysia, yang dilihat dapat membantu mengetengahkan produk kesihatan dan kesejahteraan tempatan kepada bukan sahaja pengguna Malaysia, malah pelawat antarabangsa.

Seiring Tahun Melawat Malaysia 2026-2027
Inisiatif tersebut juga dilihat bertepatan dengan Tahun Melawat Malaysia 2026-2027, khususnya dalam usaha memperkenalkan produk tempatan yang mempunyai nilai, kualiti dan inovasi kepada pasaran lebih luas.
Timbalan Ketua Pengarah (Promosi II) Tourism Malaysia, Samuel Lee, berkata usaha memperkenalkan produk tempatan kepada rakyat Malaysia dan pelawat antarabangsa mampu membantu memperkukuh daya tarikan negara.
“Kami berbesar hati melihat usaha berterusan R Pharmacy dalam mengetengahkan jenama tempatan agar lebih dikenali oleh rakyat Malaysia dan pelawat antarabangsa.
“Usaha ini bertepatan dengan misi Tahun Melawat Malaysia 2026-2027, khususnya dalam mengetengahkan kualiti, inovasi dan kepelbagaian produk buatan Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, sempena pembukaan cawangan baharu berkenaan, R Pharmacy turut meneruskan Kempen Jualan Merdeka & Hari Malaysia yang berlangsung dari 13 Ogos hingga 27 September 2026.

Kempen bertemakan Jalur Gemilang itu menawarkan promosi kepada pelanggan yang mengenakan warna-warna Jalur Gemilang menerusi pakaian atau aksesori, tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan.
Pembukaan cawangan ke-28 di Sunway Velocity Mall itu turut disempurnakan Adrian Toh bersama Ketua Pegawai Eksekutif Sunway Mall, Phang Sau Lian, dan Samuel Lee.
Dengan pertambahan cawangan baharu itu, R Pharmacy menyasarkan untuk terus berkembang sebagai platform peruncitan yang bukan sahaja menyediakan akses kepada produk kesihatan dan kesejahteraan, tetapi turut membuka lebih banyak ruang kepada jenama tempatan untuk berkembang dan menembusi pasaran yang lebih luas.
