IMG_20260711_204353

KUALA LUMPUR – Jenama minuman tempatan, MINTCHA, hari ini meraikan pembukaan rasmi kedai pertamanya di Taman Tun Dr Ismail (TTDI), hampir setahun selepas diperkenalkan kepada pencinta minuman premium di Malaysia.

Mengangkat konsep specialty handcrafted drinks, MINTCHA mengetengahkan pelbagai pilihan minuman berasaskan gabungan mint dan matcha yang dihasilkan menggunakan resipi eksklusif dengan identiti tersendiri.

Jenama itu diasaskan oleh dua sahabat, Ahmad Isshahrul Isskandar dan Wan Azhar Tanzirun, yang tercetus daripada perbezaan citarasa masing-masing. Seorang merupakan penggemar mint tetapi kurang meminati matcha, manakala seorang lagi pula pencinta matcha yang tidak menggemari mint.

Daripada idea tersebut, mereka memulakan proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi mencari keseimbangan terbaik antara kedua-dua bahan yang sering dianggap sukar digabungkan. Selepas melalui pelbagai ujian resipi, mereka berjaya menghasilkan kombinasi rasa yang seimbang dan diterima baik oleh orang ramai, sekali gus menjadi titik permulaan kepada penubuhan jenama MINTCHA.

Nama MINTCHA sendiri merupakan gabungan perkataan Mint dan Matcha, mencerminkan identiti utama jenama itu. Keistimewaan setiap minuman terletak pada penggunaan sirap buatan sendiri yang dihasilkan khas bagi memberikan rasa yang lebih lembut, floral dan mudah dinikmati, termasuk oleh mereka yang pertama kali mencuba minuman berasaskan matcha. Selain itu, pelanggan juga boleh memilih daripada enam profil rasa mint yang berbeza.

Antara menu istimewa yang menjadi tarikan utama ialah Mintcha Bloom, minuman signature yang menggabungkan rasa premium mint dan matcha. Turut ditawarkan ialah Ichigo Shortcha, gabungan matcha strawberi bersama ais krim strawberi dan pastry crumble, Matcha Ube yang dipadankan dengan ais krim ube bertekstur creamy, serta Batang Buruk Genmaicha, minuman diinspirasikan daripada kuih tradisional Batang Buruk dalam versi moden.

Sempena pembukaan rasmi cawangan TTDI pada 11 Julai 2026, bermula jam 12 tengah hari hingga 2 pagi, pelanggan boleh menikmati potongan harga sebanyak 20 peratus untuk semua minuman MINTCHA, selain diskaun 10 peratus bagi menu daripada Cookiedoh dan Big Boss HSP.

Cookiedoh dan Big Boss HSP merupakan rakan kolaborasi yang beroperasi di lokasi sama dan telah bersama-sama menyokong perkembangan MINTCHA sejak peringkat awal penubuhannya. Kerjasama promosi itu diadakan sebagai penghargaan kepada pelanggan setia di samping memberikan pengalaman yang lebih menarik kepada pengunjung.

Dalam masa sama, pengasas MINTCHA berkata mereka bukan sahaja mahu mengembangkan perniagaan, malah berhasrat membina komuniti pencinta minuman berasaskan mint dan matcha. Bagi tujuan itu, mereka memperkenalkan hashtag #TeamRumput untuk peminat matcha serta #TeamUbatGigi bagi peminat mint.

Mereka berharap MINTCHA akan terus berkembang sehingga menjadi jenama pilihan utama rakyat Malaysia setiap kali menyebut tentang minuman berasaskan matcha dan mint.

Leave a Reply