Yan, Kedah – Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia Berhad (Koop Sahabat) memperuntukkan RM2 juta bagi melancarkan Sahabat Brand, jenama baharu yang diwujudkan untuk memperkasa produk usahawan dalam kalangan anggotanya. Inisiatif itu menyasarkan sekurang-kurangnya 100 Stock Keeping Unit (SKU) berjaya menembusi rangkaian kedai runcit terpilih serta pasaran arus perdana menjelang penghujung tahun ini.
Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Leftenan Jeneral (B) Datuk Ahmad Norihan Jalal berkata, pelancaran Sahabat Brand membuktikan komitmen koperasi dalam memperkukuh pembangunan keusahawanan selain menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi komuniti.

Menurut beliau, kesedaran masyarakat terhadap peranan koperasi sebagai platform pembangunan perniagaan perlu terus diperkasakan kerana konsep berkoperasi membolehkan usahawan berkembang secara bersama dan saling menyokong.
“Kesedaran dalam kalangan rakyat bahawa koperasi merupakan antara wadah penting untuk membangunkan perniagaan perlu terus dipupuk. Melalui koperasi, rakyat dapat bergerak bersama-sama bagi memperkukuh perniagaan masing-masing.
“Pada masa sama, konsep berkoperasi bukan sahaja mengeratkan hubungan sesama anggota, malah menjadi kekuatan yang mampu meningkatkan daya saing perniagaan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (Koop Sahabat), Haji Mazri Mahmood menambah, menerusi Sahabat Brand, Koop Sahabat bukan sahaja membantu usahawan menghasilkan produk yang lebih kompetitif, malah menyediakan ekosistem sokongan merangkumi pembangunan produk, pematuhan standard kualiti, strategi pemasaran dan pengedaran.
Langkah ini dijangka mampu meningkatkan kebolehpasaran produk perusahaan mikro serta memperluaskan capaian mereka ke pasaran yang lebih besar.
“Kita target untuk bawa produk dari usahawan Sahabat ke pasaran global bagi membantu nilai tambah untuk meningkatkan ekonomi terutama produk PKS dan tempatan.
“Produk yang dipasarkan di bawah Sahabat Brand akan melalui proses pemilihan berdasarkan aspek kualiti, keselamatan makanan serta standard pembungkusan sebelum dipasarkan menerusi ekosistem perniagaan Koop Sahabat dan rangkaian Kedai Sahabat.
“Pendekatan ini bertujuan meningkatkan keyakinan pengguna terhadap produk keluaran usahawan tempatan di samping mewujudkan identiti jenama yang konsisten dan diyakini” ujarnya lagi.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan Sahabat Brand sempena Program KS Jelapang Padi Run 2026 di Pantai Murni.

Sahabat Brand diwujudkan sebagai platform pengedaran dan pengkomersialan berpusat bagi membantu usahawan mikro dalam kalangan anggota Koop Sahabat memasarkan produk mereka dengan lebih meluas dan berdaya saing.
Melalui inisiatif ini, produk yang memenuhi piawaian kualiti serta pembungkusan akan dipasarkan menerusi ekosistem perniagaan Koop Sahabat dan rangkaian Kedai Sahabat. Keuntungan hasil jualan pula akan dikembalikan kepada lebih 466,000 anggota menerusi agihan dividen serta pelaksanaan pelbagai program kebajikan.
Pada fasa awal, Sahabat Brand akan memberi tumpuan kepada produk makanan terproses, bahan masakan tradisional serta produk bernilai tambah yang mempunyai potensi tinggi untuk berkembang dalam pasaran tempatan.

Dalam masa sama, satu program larian komuniti Jelapang Padi Run 2026 yang dihadiri lebih kurang 3200 peserta dianjurkan bagi menggalakkan gaya hidup sihat, mengukuhkan hubungan dalam kalangan anggota koperasi serta mendekatkan koperasi dengan masyarakat setempat.
Jelapang Padi Run bukan sekadar acara sukan, malah berfungsi sebagai platform untuk mengukuhkan semangat berkoperasi, mempromosikan keusahawanan anggota dan menyokong pembangunan ekonomi komuniti menerusi pelbagai inisiatif yang diperkenalkan oleh Koop Sahabat.
