FB_IMG_1787368922312

KUALA LUMPUR – Sambutan ulang tahun ke-16 Watsons Club kembali lebih meriah apabila Watsons Malaysia menawarkan peluang kepada ahlinya untuk memenangi sebuah rumah impian menerusi kempen Ganjaran Raksasa, selain pelbagai ganjaran dan keistimewaan eksklusif bernilai jutaan ringgit.

Kempen yang berlangsung dari 27 Ogos hingga 21 Oktober 2026 itu meraikan kesetiaan lebih lapan juta ahli Watsons Club di seluruh negara, dengan seorang pemenang bertuah berpeluang membawa pulang sebuah kediaman di Skyria D’Island Residence, Puchong, yang dibangunkan oleh LBS Bina Group Berhad (LBS).

Kediaman berkenaan dilengkapi tiga bilik tidur dan dua bilik mandi, selain menawarkan pelbagai kemudahan gaya hidup termasuk kolam renang infiniti, taman permainan, ruang barbeku dan gelanggang sukan pelbagai guna.

Lebih menarik, peluang menyertai peraduan itu terbuka kepada ahli yang membuat pembelian bernilai RM50 dan ke atas di kedai Watsons atau secara dalam talian menggunakan mana-mana kad VISA sepanjang tempoh kempen.

Penyertaan boleh dibuat menerusi borang dalam talian yang disediakan Watsons selepas pembelian memenuhi syarat.

Tahun ini turut menandakan tahun keenam Watsons Club menawarkan hadiah rumah kepada ahli, sekali gus memperlihatkan usaha berterusan jenama itu dalam menjadikan program kesetiaan bukan sekadar platform mengumpul mata, tetapi pengalaman yang menawarkan ganjaran lebih bermakna.

Menurut Pengarah Urusan Serantau, Health & Beauty Asia, AS Watson Group dan Pengarah Eksekutif Serantau, Watsons International, Caryn Loh, sambutan tahun ini menjadi peluang untuk Watsons meraikan hubungan yang dibina bersama ahli sejak sekian lama.

“Sempena Watsons meraikan 185 tahun dalam menyediakan penjagaan dan nilai terbaik yang dipercayai di seluruh dunia, kami amat berbangga dapat meraikan pencapaian ini bersama ahli Watsons Club di Malaysia.

“Watsons Club telah berkembang daripada sekadar sebuah program keahlian kepada ekosistem ganjaran gaya hidup yang komprehensif, yang memperkayakan kehidupan seharian pelanggan kami.

“Ganjaran Raksasa mencerminkan komitmen kami untuk memberikan ganjaran yang lebih besar dan bermakna kepada ahli, menjadikan setiap pembelian lebih berbaloi dan setiap pengalaman membeli-belah lebih istimewa,” katanya.

Bukan hanya rumah impian, ahli Watsons Club juga berpeluang menikmati W Rewards bernilai lebih RM10 juta menerusi penyertaan lebih 150 rakan jenama.

Tawaran tersebut merangkumi pelbagai keistimewaan eksklusif, diskaun serta ganjaran khas, selain peluang mengumpul mata bagi setiap pembelian dan menebus ganjaran bermula serendah 10 mata Watsons.

Ketua Pegawai Operasi Watsons Malaysia, Danny Hoh, berkata sambutan ulang tahun ke-16 itu turut menjadi platform untuk Watsons menghargai kesetiaan ahli dengan menawarkan lebih banyak nilai dalam setiap pengalaman membeli-belah.

“Watsons Club telah berkembang seiring dengan ahli kami dan kini menjadi lebih daripada sekadar sebuah program kesetiaan; ia merupakan sebuah komuniti yang kami banggakan.

“Tahun ini, kami mahu meraikan pencapaian ini dengan memberikan lebih banyak sebab kepada ahli untuk berasa dihargai dan diberi ganjaran.

“Dengan lanjutan Ganjaran Raksasa, kami teruja untuk sekali lagi memberikan peluang kepada ahli memenangi sebuah rumah baharu, di samping menikmati penjimatan lebih besar, mata ganjaran berganda dan ganjaran eksklusif,” katanya.

Dalam tempoh 27 Ogos hingga 3 September 2026, pelanggan juga boleh menikmati promosi dengan diskaun sehingga 80 peratus untuk item kedua di Watsons seluruh negara.

Ahli Watsons Club pula berpeluang menikmati 2X mata, tawaran W Rewards harian serta promosi eksklusif daripada jenama yang mengambil bahagian.

Selain itu, pembelian sepanjang tempoh kempen membolehkan ahli mengumpul Watsons eStamp untuk ditebus dengan pelbagai ganjaran menarik bermula hanya dua eStamp, termasuk produk Mangosteen Naturals by Watsons dan topeng muka edisi terhad, tertakluk kepada stok.

Bagi mereka yang masih belum menjadi ahli, pendaftaran Watsons Club ditawarkan pada RM20, dengan peluang menerima pelbagai hadiah kejutan termasuk penginapan pelayaran, baucar aktiviti taman tema dan baucar beli-belah.

Dengan lebih banyak ganjaran, promosi dan peluang memenangi hadiah utama, kempen Ganjaran Raksasa tahun ini menjadikan setiap pembelian di Watsons bukan sekadar memenuhi keperluan harian, malah membuka peluang kepada ahli untuk membawa pulang ganjaran yang lebih besar — termasuk sebuah rumah impian.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading