IMG_20260829_171600

KUALA LUMPUR – Suasana di pusat beli-belah SOGO Kuala Lumpur bertukar gamat apabila pengunjung dikejutkan dengan persembahan flashmob khas sempena kempen promosi Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026.

Program berkonsepkan pemasaran gerila itu dianjurkan bagi mendekatkan kemeriahan MAHA 2026 dengan masyarakat bandar, khususnya golongan muda, menerusi pendekatan promosi yang lebih santai dan interaktif.

Persembahan spontan berkenaan menampilkan gabungan muzik dan tarian bertenaga dengan elemen identiti MAHA 2026, sekali gus menarik perhatian pengunjung yang berada di sekitar lokasi.

Kejutan menjadi lebih istimewa apabila penyanyi terkenal, Faizal Tahir, muncul menyertai persembahan tersebut.

Faizal yang juga merupakan penyanyi lagu rasmi MAHA 2026 turut berinteraksi dengan pengunjung, menjadikan acara berkenaan lebih meriah dan meninggalkan pengalaman tersendiri buat mereka yang menyaksikannya.

Kemunculan penyanyi itu dilihat memberikan dimensi baharu kepada kempen promosi MAHA 2026 apabila unsur muzik, hiburan dan pengalaman secara langsung digabungkan dalam usaha menarik perhatian masyarakat.

Aktiviti di SOGO itu turut menjadi pembuka kepada siri promosi MAHA 2026 menggunakan bas Hop-On Hop-Off (HOHO) yang akan bergerak di beberapa lokasi ikonik sekitar ibu negara, termasuk Istana Budaya dan Menara Kuala Lumpur.

Bas berkonsepkan MAHA 2026 itu membawa identiti serta mesej pameran secara bergerak bagi memperluaskan hebahan kepada orang ramai di luar lokasi utama penganjuran.

MAHA 2026 yang berlangsung selama 10 hari bermula 28 Ogos hingga 6 September 2026 di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS), Selangor, mengangkat tema “Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan”.

Penganjuran kali ini memberi penekanan terhadap pemodenan sektor agromakanan melalui teknologi, inovasi serta penghasilan nilai tambah sepanjang rantaian makanan.

Selain menghimpunkan pemain industri, usahawan, pengusaha agro, penginovasi dan agensi kerajaan, MAHA 2026 turut menawarkan pelbagai tarikan termasuk pameran teknologi pertanian, produk ternakan, aktiviti interaktif serta persembahan hiburan.

Antara acara yang turut dinantikan ialah Konsert ROTF, yang menampilkan barisan artis popular seperti Dayang Nurfaizah, Hael Hussaini, Syamel, Noraniza Idris dan Cakra Khan.

Orang ramai dijemput berkunjung ke MAEPS Serdang sehingga 6 September ini untuk meneroka pelbagai peluang berkaitan sektor agromakanan, keusahawanan, teknologi serta menikmati aktiviti yang disediakan sepanjang penganjuran MAHA 2026.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading