KUALA LUMPUR – Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini bakal lebih meriah apabila MR D.I.Y. Group Berhad (MR D.I.Y.) kembali menganjurkan Bersama Satu Bazaar 2026, yang memasuki tahun ketiga penganjurannya dengan membawa konsep mesra keluarga ke lokasi baharu di Johor.
Selepas mendapat sambutan menggalakkan di Lembah Klang pada 2024 dan 2025, Bersama Satu Bazaar tahun ini diperluaskan ke luar Lembah Klang buat pertama kali.
Bagi edisi 2026, bazaar berkenaan berlangsung di Sunway Pyramid Open Car Park dari 28 hingga 31 Ogos, sebelum diteruskan di Angsana Johor Bahru Mall dari 11 hingga 13 September.

Naib Presiden Kanan Pemasaran MR D.I.Y., Alex Goh berkata, peluasan acara ke Johor memberi peluang kepada syarikat untuk berkongsi kemeriahan sambutan Hari Kebangsaan dengan lebih ramai masyarakat selain menyokong peniaga tempatan.
Menurutnya, semangat kemasyarakatan menjadi antara nilai yang diterapkan MR D.I.Y. dalam setiap inisiatif yang dianjurkan.
“Penganjuran Bersama Satu Bazaar di Johor buat kali pertama membolehkan kami berkongsi kemeriahan sambutan ini bersama lebih ramai rakyat Malaysia.
“Ia juga memberi kami peluang untuk menyokong peniaga tempatan, mewujudkan pengalaman bermakna bagi keluarga dan membawa semangat Hari Kebangsaan lebih dekat dengan komuniti yang kami santuni,” katanya.
100 gerai tempatan jadi tarikan utama
Antara tarikan utama Bersama Satu Bazaar 2026 ialah Jalan Viral, yang menghimpunkan kira-kira 100 gerai makanan dan barangan gaya hidup tempatan.
Pengunjung boleh menikmati pelbagai makanan popular Malaysia, juadah kegemaran ramai serta meneroka produk daripada jenama gaya hidup tempatan sambil menyokong usahawan tempatan.

Sementara itu, Jalan DIY menyediakan peluang kepada pengunjung mendapatkan pelbagai barangan keperluan harian rumah selain menikmati pilihan snek dan minuman ringan.
Tidak ketinggalan, acara berkenaan turut mengetengahkan pelbagai aktiviti interaktif untuk seisi keluarga menerusi zon khas yang disediakan.
Kanak-kanak dan golongan muda boleh mencuba permainan interaktif di Jalan Fun, menyertai bengkel STEM Discovery anjuran Yayasan MR D.I.Y. atau berkunjung ke petting zoo.
Persembahan kebudayaan secara langsung turut diadakan bagi memeriahkan suasana sepanjang bazaar berlangsung.
Bagi lokasi Lembah Klang, pengunjung juga berpeluang menyaksikan acara kira detik khas serta pertunjukan bunga api pada malam 30 Ogos 2026 sempena sambutan Hari Kebangsaan.
Ahli MR.DIY Club dapat keistimewaan khas
Dalam pada itu, ahli MR.DIY Club berpeluang menikmati beberapa keistimewaan sepanjang Bersama Satu Bazaar 2026.

Ahli yang mempunyai dua Bag dalam akaun aplikasi akan menerima baucar secara automatik untuk mendapatkan akses sekali sahaja ke VIP Member Lounge berhawa dingin, selain menikmati minuman percuma.
Pengunjung yang belum menjadi ahli pula boleh mendaftar menerusi aplikasi MR.DIY Club di tapak acara dan berbelanja sekurang-kurangnya RM40 di Jalan DIY bagi mengumpul dua Bag untuk mendapatkan akses ke ruang berkenaan.
Ahli juga berpeluang menyelesaikan misi khas menerusi aplikasi MR.DIY Club sepanjang bazaar untuk menebus barangan edisi terhad MR D.I.Y. Bersama Satu Bazaar.
Bersama Satu Bazaar 2026 dianjurkan dengan kerjasama Visa.
