WhatsApp-Image-2026-08-29-at-110911

KUALA LUMPUR – Persiapan fesyen Aidilfitri kini bergerak lebih awal apabila WarnaRaya X KLCC Raya Runway 2027 tampil dengan konsep yang menggabungkan pertunjukan fesyen, jualan dan pengalaman gaya hidup dalam satu platform.

Memasuki edisi kedua, WarnaRaya 2027 bakal berlangsung selama tiga hari dari 22 hingga 24 Januari 2027 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), kira-kira dua minggu sebelum bermulanya Ramadan.

Penganjuran itu dilihat sebagai satu pendekatan baharu dalam memeriahkan industri fesyen tempatan apabila pengguna bukan sahaja berpeluang mendapatkan koleksi Raya lebih awal, malah dapat menyaksikan sendiri rekaan pereka dan jenama tempatan di pentas runway.

Pengasas WarnaRaya, Shariza Mahzlan berkata, acara berkenaan tidak lagi mahu dilihat sekadar sebagai bazar fesyen, sebaliknya berkembang menjadi sebuah ekosistem yang menghubungkan pereka, usahawan, jenama dan pengguna.

Menurutnya, konsep utama WarnaRaya adalah menggabungkan runway fesyen profesional dengan bazar berskala besar, sekali gus membuka ruang kepada pemain industri kreatif memperkenalkan identiti serta koleksi masing-masing kepada khalayak.

Bagi edisi 2027, WarnaRaya menyasarkan penyertaan lebih 90 vendor dan kehadiran lebih 50,000 pengunjung.

Platform itu turut mengetengahkan gabungan pereka fesyen terkenal, usahawan perusahaan kecil dan sederhana (SME) serta jenama selebriti serantau bagi mewujudkan pengalaman fesyen yang lebih menyeluruh.

Menariknya, vendor yang mengambil bahagian turut diberikan peluang memperkenalkan koleksi menerusi mini runway fashion show yang disediakan di kawasan bazar.

Pendekatan berkenaan membolehkan pengunjung melihat sendiri bagaimana sesuatu koleksi digayakan, selain memberi peluang kepada usahawan memperkenalkan produk secara lebih kreatif dan interaktif.

Pada masa sama, pentas utama di dewan KLCC bakal menyaksikan penyertaan beberapa nama besar dalam industri fesyen tempatan yang turut dilantik sebagai duta WarnaRaya.

Antaranya termasuk FIZIWOO, Rizman Ruzaini, Datuk Radzuan Radziwill dan Abu Shaef Hamza yang masing-masing membawa identiti tersendiri dalam menghasilkan busana Melayu serta koleksi Raya.

FIZIWOO misalnya melihat WarnaRaya sebagai platform sehenti yang berpotensi membantu pereka memperkenalkan koleksi Ready-to-Wear kepada pasaran secara lebih dekat.

Pereka itu dijangka menampilkan kira-kira empat koleksi khas merangkumi busana lelaki dan wanita, manakala Rizman Ruzaini pula memberi tumpuan kepada koleksi Ready-to-Wear premium dengan anggaran harga sekitar RM400 hingga RM500.

Sementara itu, Datuk Radzuan Radziwill mengetengahkan konsep ‘Contemporary Malay’ dengan penggunaan corak cetakan eksklusif sebagai antara identiti utama rekaannya.

Koleksi yang dibawa turut menekankan aspek versatiliti supaya busana tidak hanya sesuai digayakan ketika Aidilfitri, malah boleh dipakai untuk majlis perkahwinan, acara rasmi dan pelbagai keraian lain.

Abu Shaef Hamza pula mengangkat kekayaan tekstil Nusantara seperti songket dan batik menerusi sentuhan rekaan yang lebih moden.

Gabungan elemen tradisional dengan pendekatan kontemporari itu dilihat mampu memastikan warisan tekstil terus relevan, selain menarik perhatian generasi muda terhadap nilai budaya yang terkandung dalam fesyen tempatan.

Tidak terhad kepada pasaran Malaysia, WarnaRaya turut menyasarkan penyertaan pemain industri dari Singapura, Indonesia dan Brunei dalam usaha memperluaskan jaringan fesyen merentasi sempadan.

Langkah itu sekali gus membuka ruang kepada jenama tempatan untuk berhubung dengan pasaran serantau serta memperkenalkan identiti fesyen Melayu dan Nusantara kepada khalayak lebih luas.

Selain membeli-belah dan pertunjukan fesyen, pengalaman pengunjung turut diberi perhatian apabila mereka yang hadir ke kawasan bazar berpeluang memenangi tiket eksklusif untuk menyaksikan pertunjukan fesyen di pentas utama.

Dengan gabungan jualan, fesyen, hiburan dan interaksi secara langsung antara pereka dengan pengguna, WarnaRaya 2027 dilihat mampu menjadi antara platform penting dalam menggerakkan kempen fesyen Raya lebih awal.

Lebih daripada sekadar persiapan busana Syawal, penganjuran itu membawa aspirasi lebih besar untuk membina ekosistem fesyen yang mempertemukan pereka, usahawan, jenama, pengguna dan pemain industri serantau dalam satu pentas.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading