KUALA LUMPUR – Momen seorang ibu menerima surat tulisan tangan anaknya menjadi antara detik paling menyentuh hati dalam program Fenomena PKSK Merdeka 2026 yang menghimpunkan lebih 400 murid di Universiti Malaya, semalam.
Lebih istimewa, surat berkenaan ditulis oleh penyanyi cilik, Anggrek Adenan, sembilan tahun, buat ibunya yang juga penyanyi terkenal, Adira Suhaimi.
Anggrek yang merupakan juara program Talk To My Manager (TTMM) musim kedua itu hadir memeriahkan program anjuran Fly High Education Centre (Fly High), selain menerima Sijil Penghargaan Keistimewaan Pendidikan GenFLY yang melayakkannya mendapat tajaan pendidikan tambahan selama tiga tahun.
Dalam segmen khas ‘Surat Buat Ibu’ yang dikendalikan penceramah motivasi, Nazira Nazir, semua peserta diberi peluang meluahkan rasa penghargaan dan kasih sayang kepada ibu masing-masing menerusi tulisan.
Anggrek turut tekun menyiapkan suratnya sebelum bangun dan menyerahkan sendiri kepada Adira yang berada di dalam dewan.
Suasana bertukar sebak apabila Adira membaca surat tersebut, malah emosi itu turut dirasai peserta lain yang ketika itu sedang menulis dan menghayati luahan masing-masing buat insan yang banyak berkorban dalam kehidupan mereka.

Pengasas Fly High Education Centre, Wan Rafidah Wan Ali berkata, program tahunan berkenaan bukan sekadar memberi fokus kepada persediaan akademik, sebaliknya turut menekankan pembentukan sahsiah dan penghargaan terhadap sokongan keluarga.
Menurutnya, bengkel itu dirangka bagi membantu pelajar membuat persediaan menghadapi Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK), termasuk bagi kemasukan ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan sekolah khusus lain.
“Melalui program ini, kira-kira 70 hingga 80 peratus pelajar yang mengikuti kelas secara konsisten berjaya mencapai sasaran mereka.
“Ia menunjukkan persediaan berterusan sangat penting, namun dalam masa sama kami mahu pelajar bukan sahaja bersedia dari segi akademik, tetapi turut menghargai pengorbanan ibu bapa yang sentiasa menjadi sumber sokongan mereka,” katanya.
Wan Rafidah berharap semua peserta dapat merealisasikan impian untuk melanjutkan pelajaran ke sekolah pilihan, termasuk SBP, SBPI, MRSM Ulul Albab, MRSM Bitara dan SMKA terpilih.
Program yang turut menyaksikan peserta mengenakan pakaian bertemakan kemerdekaan dan seragam kokurikulum itu menjadi platform untuk menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan pelajar.
Tidak kurang menarik, terdapat peserta yang sanggup merentas negeri demi mendapatkan persediaan terbaik menghadapi PKSK.

Dua sepupu dari Kelantan, Muhammad Rifqi Sufi Rashid, 12, dan Muhammad Al Fatih Mohamed Rosli, antara peserta yang hadir selepas membuat persediaan sejak April menerusi pembelajaran serta kelas tuisyen di rumah.
Muhammad Rifqi Sufi berkata, perjalanan jauh dari Kelantan tidak menjadi halangan kerana dia mahu memperkukuh persediaan dan meningkatkan peluang untuk melanjutkan pelajaran ke sekolah pilihan.
Sementara itu, Muhammad Al Fatih berkata, peluang menyertai bengkel tersebut dimanfaatkan sebaik mungkin untuk mengukuhkan persediaan akademik, selain menyimpan cita-cita untuk menjadi pegawai bomba.
“Sanggup datang jauh sebab kami memang bersemangat nak belajar dan buat persediaan dengan lebih baik. Kami harap usaha ini dapat membantu kami mencapai cita-cita,” katanya.
Fenomena PKSK Merdeka 2026 turut diserikan dengan sesi motivasi dan pembelajaran bersama tenaga pengajar Fly High bagi meningkatkan keyakinan serta kesediaan pelajar sebelum menduduki PKSK yang dijadualkan bermula 7 Oktober 2026.
