02

KUALA LUMPUR – Hock Kee Kopitiam, jenama kopitiam tempatan yang komited memelihara warisan makanan Malaysia dan meraikan semangat muhibah, menjalin kerjasama dengan Grand Millennium Kuala Lumpur, hotel bertaraf lima bintang di tengah-tengah Bukit Bintang yang menerima pengiktirafan Tripadvisor Travellers’ Choice 2025. Kerjasama ini bertujuan memperkenalkan keunikan cita rasa kopitiam Malaysia kepada tetamu hotel, khususnya pelancong antarabangsa.

Sebagai fasa pertama kerjasama, tetamu Grand Millennium Kuala Lumpur boleh menikmati diskaun 10% apabila menjamu selera di semua cawangan Hock Kee Kopitiam, sekali gus memberi peluang kepada mereka untuk menerokai kepelbagaian hidangan tempatan dalam suasana kopitiam yang mencerminkan budaya dan kehidupan masyarakat Malaysia.

Selain tawaran istimewa ini, kedua-dua pihak turut meneroka peluang untuk memperkenalkan pakej eksklusif serta membawa hidangan popular Hock Kee Kopitiam, termasuk laksa signaturnya, ke Grand Millennium Kuala Lumpur. Kerjasama ini juga berpotensi diperluas melalui promosi silang, kempen pemasaran bersama dan pelbagai inisiatif pelancongan yang menghubungkan pengunjung dengan kekayaan makanan serta budaya Malaysia. Inisiatif-inisiatif berkenaan akan diperkenalkan secara berperingkat.

Terletak di Bukit Bintang, antara hab pelancongan utama Kuala Lumpur, kedua-dua jenama ini berada pada kedudukan strategik untuk memperkenalkan warisan kulinari dan budaya kopitiam Malaysia kepada khalayak antarabangsa melalui rangkaian tetamu hotel dari seluruh dunia.

Seiring dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026–2027, kerjasama ini turut menekankan peranan makanan sebagai medium untuk mengenali budaya, warisan dan masyarakat tempatan. Usaha ini bertujuan memperkaya pengalaman pelancong dengan menawarkan lebih daripada sekadar penginapan dan lawatan ke destinasi tarikan, sebaliknya menggalakkan mereka mendekati Malaysia melalui cita rasa dan tradisi kulinarinya.

Timbalan Ketua Pengarah (Promosi) merangkap Ketua Sekretariat Visit Malaysia 2026–2027, Tourism Malaysia, YBrs. Mohd Akbal Setia, berkata, “Malaysia menerima 28.8 juta pelawat antarabangsa dari Januari hingga Ogos 2026, mencerminkan minat berterusan terhadap negara kita sebagai destinasi pelancongan. Momentum ini terus diperkukuh menerusi kempen Tahun Melawat Malaysia 2026–2027, dengan tumpuan bukan sahaja untuk menarik lebih ramai pelawat, malah menggalakkan mereka merasai sendiri keunikan Malaysia.

“Makanan merupakan antara elemen penting dalam pengalaman tersebut, manakala budaya kopitiam mencerminkan kepelbagaian, kemesraan dan semangat kebersamaan masyarakat Malaysia. Kami mengalu-alukan kerjasama antara Hock Kee Kopitiam dan Grand Millennium Kuala Lumpur yang membantu memperkenalkan warisan kulinari tempatan kepada pelawat antarabangsa.”

Pengasas Hock Kee Kopitiam, Nick Ng, berkata, “Sebagai Rakan Strategik Tahun Melawat Malaysia 2026–2027, kami komited untuk memudahkan pelawat menikmati cita rasa Malaysia serta mengenali budaya kopitiam kita. Kerjasama ini membolehkan kami memperluas pengalaman Hock Kee melangkaui cawangan kami sendiri serta menjangkau lebih ramai pelancong.

“Kami berharap kerjasama ini dapat menjadikan makanan Malaysia sebahagian daripada pengalaman yang membantu pelawat menikmati dan mengenali Malaysia dengan lebih dekat.”

Sementara itu, Pengurus Besar Grand Millennium Kuala Lumpur, Jim Khoo, berkata, “Kedudukan hotel kami di tengah-tengah Bukit Bintang membolehkan kami menghubungkan tetamu tempatan dan antarabangsa dengan budaya, cita rasa dan kisah menarik yang mencerminkan keunikan bandar raya Kuala Lumpur.

“Melalui kerjasama ini, kami berhasrat untuk menawarkan pengalaman yang lebih bermakna kepada para tetamu, yang melangkaui penginapan di hotel, di samping mempromosikan kekayaan warisan Malaysia serta meraikan tradisi yang membentuk identiti budaya tempatan. Kami berharap agar para tetamu bukan sahaja membawa pulang kenangan indah sepanjang penginapan mereka, malah turut memperoleh penghargaan yang lebih mendalam terhadap Kuala Lumpur serta masyarakat, budaya dan cita rasa yang menjadikan Malaysia begitu unik.

“Seiring dengan Tahun Melawat Malaysia 2026–2027, kami berharap dapat meneroka lebih banyak peluang kerjasama antara kedua-dua jenama untuk mengetengahkan kekayaan warisan Malaysia dan memperkukuh kedudukan negara sebagai destinasi pelancongan yang mesra serta meninggalkan kenangan yang tidak dapat dilupakan.”

Kerjasama ini menandakan permulaan hubungan jangka panjang antara Hock Kee Kopitiam dan Grand Millennium Kuala Lumpur, dengan menggabungkan kepakaran kedua-dua pihak dalam bidang makanan dan hospitaliti bagi menyokong aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026–2027.

Kedua-dua pihak akan terus meneroka peluang baharu untuk memperluas kerjasama serta memperkenalkan pengalaman dan tawaran istimewa kepada tetamu secara berperingkat, sekali gus membawa warisan kulinari Malaysia lebih dekat kepada pelancong dari dalam dan luar negara.

Leave a Reply