KUALA LUMPUR: Penyedia perkhidmatan e-panggilan, Grab mencatatkan penurunan bagi pendaftaran pemandu sambilan baharu susulan pengumuman oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke pada 11 Julai lalu.

Menerusi pengumuman itu, perkhidmatan berkenaan akan dikawal selia oleh kerajaan melalui Akta Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2017 dan Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Pindaan) 2017.

Malah, melalui akta itu syarikat e-panggilan perlu berdaftar dengan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sebagai Perniagaan Pengantaraan dan membayar fi yang ditetapkan.

Ketua Negara Grab Malaysia, Sean Goh, berkata pemandu sambilan terdiri daripada golongan profesional serta pekerja pejabat yang mahu mendapatkan pendapatan sampingan adalah merangkumi 80 peratus daripada pemandu Grab

Beliau berkata, secara purata, Grab setakat ini berjaya menyumbang kira-kira 30 peratus kepada pendapatan isi rumah dalam kalangan pemandunya selain membantu golongan pendapatan pertengahan (M40).

“Kita memahami dalam hal ini kerajaan cuba untuk mewujudkan situasi yang adil dan seimbang bagi semua pihak berkepentingan.

“Bagi meredakan situasi ini dari berlarutan, kita akan memberi panduan kepada mereka yang ingin menjadi pemandu sambilan Grab dan berharap keadaan ini akan beransur pulih.

“Adalah normal untuk menyaksikan penurunan terhadap pendaftaran baharu ini memandangkan ia adalah satu tempoh peralihan kepada perniagaan dalam bidang ini.

“Malah, kita juga sedang berunding dengan beberapa pengendali insurans bagi memastikan pihaknya dapat menyediakan perkhidmatan yang lebih baik khusus kepada pemandu Grab,” katanya ketika ditemui selepas sesi taklimat bersama Majlis Penasihat Kerajaan (MPK) di sini, hari ini.

Melalui penguatkuasaan terbabit, syarat yang dikenakan kepada industri e-panggilan adalah selari dengan industri teksi dari segi syarat kelayakan permohonan lesen, kenderaan, kelayakan pemandu dan operasi, bagi memberikan kesaksamaan kepada industri teksi.

Susulan langkah itu, tempoh moratorium selama setahun dari tarikh kuat kuasa akan diberikan kepada Perniagaan Pengantaraan untuk memenuhi semua syarat yang ditetapkan bagi mendapatkan Lesen Perniagaan Pengantaraan.

Goh menambah, Grab juga berhubung dengan Kementerian Pengangkutan bagi mewujudkan perbincangan berterusan antara dua pihak itu dalam mencapai kata sepakat.

“Grab akan terus bersama pihak kementerian supaya pelbagai isu yang timbul dapat dibincang serta diselesaikan berkenaan perkhidmatan e-panggilan ini,” katanya.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading