KUALA LUMPUR – Sempena sambutan Hari Merdeka dan Hari Malaysia, McDonald’s Malaysia meraikan 37 tahunnya sebagai syarikat Malaysia dengan menerima pakai nama panggilannya, Mekdi. Papan tanda yang tertera Mekdi bagi ‘McD’, iaitu kependekan bagi McDonald’s, kini jelas terpampang di restoran McDonald’s Bukit Bintang, lokasi pertama McDonald’s di Malaysia yang dibuka pada tahun 1982.

“Sepanjang 37 tahun lalu, rakyat Malaysia telah membantu membangunkan jenama McDonald’s Malaysia seperti yang dikenali hari ini. Sebagai tanda penghargaan atas sokongan berterusan mereka, kami telah memutuskan untuk menerima pakai nama panggilan mesra Mekdi yang diberikan kepada kami, di mana ianya kini sinonim dengan jenama kami,” kata Naib Presiden dan Ketua Pegawai Pemasaran McDonald’s Malaysia, Melati Abdul Hai.
Dalam meraikan Bulan Kebangsaan, McDonald’s Malaysia menyambut segala yang berkaitan Malaysia dengan memperkenalkan Nasi Lemak McD, hidangan kegemaran ramai rakyat Malaysia dalam versinya tersendiri. Hidangan itu disajikan lengkap dengan nasi bersantan yang wangi, ikan bilis rangup, timun segar dan telur goreng, berserta sambal pedas. Pelanggan juga boleh merangsang selera mereka dengan menambah Ayam Goreng McD dan secawan Teh Ais Limau.

Menyedari populariti Nasi Lemak di kalangan rakyat Malaysia, McDonald’s Malaysia juga memulakan petisyen di seluruh negara di laman web Change.org supaya Nasi Lemak diiktiraf secara rasmi sebagai hidangan kebangsaan Malaysia, dengan sasaran mengumpul 1 juta tandatangan menjelang Hari Malaysia (16 September). Untuk turut serta dalam petisyen ini, sila layari http://chng.it/LDfjGDJsQs.
